MTUC ubah pendirian dalam isu RUU Kesatuan Sekerja? CAMU kata pihaknya kecewa dan terkejut

Gabungan Menentang Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU) mendakwa kepimpinan MTUC semasa telah berubah pendirian dalam isu Rang Undang-undang (RUU) Kesatuan Sekerja 1959 (Pindaan 2022) berbanding keputusan dibuat tahun lalu.

KUALA LUMPUR: Gabungan Menentang Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU) berkata pihaknya terkejut dan kecewa dengan pendirian terbaharu barisan kepimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dalam isu Rang Undang-undang (RUU) Kesatuan Sekerja 1959 (Pindaan 2022).

Pengerusi CAMU, Rudy Rusly berkata, pihaknya difahamkan barisan kepimpinan MTUC semasa telah memutuskan untuk menyokong RUU itu ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri Sumber Manusia minggu lalu sedangkan pendirian untuk menolak pindaan tersebut secara sebulat suara telah diputuskan oleh MTUC dalam dua pertemuan pada tahun 2022.

Kata beliau, dalam sesi pertemuan pertama, Mesyuarat Khas Majlis Am MTUC pada 26 Jun 2022 telah sebulat suara mencapai keputusan untuk menolak RUU itu.

Ketika mesyuarat tersebut, kata Rudy, beliau sendiri telah membentangkan perkara-perkara berkaitan dengan implikasi negatif dan kesan buruk ke atas kesatuan sekerja dan pekerja sekiranya pindaan itu dilaksanakan.

“Maka, Mesyuarat Majlis Am telah sebulat suara menolak RUU itu dan menggesa pimpinan MTUC untuk menyuarakan kepada pihak Kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia mengenai pendirian itu,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kali kedua, kata beliau, semasa Persidangan Perwakilan MTUC kali ke-42 pada 2 Julai lalu, Effendy Abdul Ghani selaku pemangku Presiden MTUC telah berkata bahawa “beliau berkongsi kebimbangan mengenai cadangan yang telah dikemukakan di dalam RUU Kesatuan Sekerja 1959 di mana isu mewujudkan kepelbagaian kesatuan sekerja seharusnya dikaji lebih terperinci dan menyatakan bahawa di dalam mesyuarat Majlis Am MTUC pada 26 Jun, majoriti kesatuan gabungan membantah usul tersebut dan memohon agar Kementerian Sumber Manusia menangguhkan pembentangan kali kedua pada sidang Parlimen akan datang dan memanggil MTUC secara tripartit bersama pihak berkepentingan untuk membicarakan dan berbincang mengenai isu ini secara terperinci demi kebaikan semua.”

Rudy nenambah, pada hari ini barisan kepimpinan MTUC telah mengambil pendirian berbeza.

Katanya, MTUC yang kononnya menjadi pejuang kaum pekerja sejak tahun 1949 telah gagal memainkan peranan sebenarnya dalam memperjuangkan nasib pekerja.

“Keputusan di dalam dua mesyuarat tertinggi MTUC tidak dihormati dan terus memperdayakan keputusan yang dibuat oleh majoriti Ahli Majlis Am,” kata beliau.

Kata Rudy, maklumat yang diterima baru-baru ini menunjukkan delegasi MTUC yang mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Sumber Manusia pada 5 Januari lalu telah menyatakan sokongan kepada pindaan akta itu, yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat beberapa hari sebelum Parlimen dibubarkan.

“Perkara ini telah disampaikan oleh salah seorang pegawai tertinggi Kementerian Sumber Manusia pada satu mesyuarat penting di antara pihak-pihak berkepentingan di Parlimen baru-baru ini,” kata beliau yang menyifatkan tindakan itu telah mengkhianati warga pekerja dan pergerakan kesatuan sekerja di Malaysia.

Rudy menambah, CAMU menzahirkan rasa kesal dengan tindakan MTUC itu yang telah terang-terang membelakangkan kepentingan pekerja dan gerakan kesatuan sekerja.

“Oleh itu, CAMU mahu Majlis Am MTUC menggesa pimpinan MTUC agar menarik balik pendirian terbaharu yang dibuat kepada Menteri dan Kementerian Sumber Manusia, yang jelas bertentangan dengan keputusan Majlis Am dan Persidangan Perwakilan MTUC kali ke-42,” kata beliau.

RUU itu telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Oktober lalu, tetapi belum dibawa ke Dewan Negara kerana Parlimen telah dibubarkan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 yang berlangsung pada 19 November.