MTUC sambut baik pelaksanaan gaji minimum di tempat kerja kurang lima pekerja

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 bagi majikan yang mempunyai pekerja kurang daripada lima orang, bermula sejak semalam, akan menghapuskan diskriminasi terhadap pekerja dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, tambahan sebanyak RM300 akan memberi kelegaan kepada pekerja dan membantu meningkatkan kualiti hidup mereka.

“MTUC berharap ini dapat mengurangkan rasa tidak puas hati pekerja yang terbeban akibat kenaikan kos barangan,” kata beliau dalam kenyataan.

Kamarul Baharin turut menggesa Jabatan Tenaga Kerja mengambil pendekatan proaktif untuk menguatkuasakan perintah gaji minimum secara berkesan termasuk dengan melakukan pemeriksaan di tempat kerja secara berkala.

“(Jabatan) tidak seharusnya hanya menunggu aduan daripada pekerja untuk mengambil tindakan,” kata beliau.