Oleh Mohd Effendy Abdul Ghani
PANDANGAN: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut baik pengumuman kenaikan gaji minimum dalam pembentangan Belanjawan 2025 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan. Kenaikan ini menunjukkan komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan pekerja di seluruh negara, terutamanya mereka yang berada dalam kumpulan berpendapatan rendah.
Kenaikan gaji minimum ini adalah langkah penting yang mampu meringankan beban kos sara hidup, yang semakin meningkat akibat inflasi dan tekanan ekonomi global. Ini juga selaras dengan hasrat negara untuk memajukan ekonomi yang lebih adil dan memastikan tiada golongan pekerja tertinggal dalam pembangunan negara.
MTUC juga ingin mengingatkan pihak kerajaan tentang kepentingan memastikan tempoh pelaksanaan kenaikan gaji minimum ini dilakukan secepat mungkin. Setiap kelewatan dalam pelaksanaan akan memberi kesan langsung kepada pekerja yang terus berdepan dengan peningkatan kos sara hidup. Oleh itu, MTUC berharap kerajaan dapat mempercepatkan proses pelaksanaan ini dan memastikan segala garis panduan serta pematuhan oleh majikan dilaksanakan dengan segera.
MTUC menegaskan bahawa langkah ini perlu dilaksanakan dengan penguatkuasaan yang tegas. Majikan mesti bertanggungjawab sepenuhnya untuk mematuhi kadar gaji minimum baru ini, tanpa sebarang percubaan untuk mengelak atau mengeksploitasi pekerja. Penguatkuasaan undang-undang berkaitan perlu diperkukuhkan untuk memastikan hak pekerja dilindungi.
Kami turut menggesa kerajaan untuk menyediakan sokongan kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan peningkatan kos operasi akibat kenaikan gaji ini.
Bantuan dalam bentuk insentif, latihan, dan pembiayaan akan memastikan kenaikan gaji minimum tidak mengakibatkan pengurangan tenaga kerja atau penutupan perniagaan.
Selain itu, MTUC juga ingin menggesa majikan-majikan besar yang mempunyai kemampuan kewangan untuk menawarkan gaji yang lebih tinggi daripada kadar gaji minimum yang ditetapkan. Kami amat berharap dan mengalu-alukan tindakan majikan yang sedia memberikan gaji yang lebih tinggi sebagai satu langkah proaktif dalam menghargai sumbangan pekerja serta membantu mereka menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat. Langkah ini bukan sahaja menunjukkan tanggungjawab sosial majikan tetapi juga mampu meningkatkan produktiviti dan motivasi pekerja.
MTUC percaya bahawa kenaikan gaji minimum bukan sahaja akan meningkatkan taraf hidup pekerja tetapi juga memacu pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan kuasa beli rakyat. Ini akan memberi manfaat kepada ekonomi negara secara keseluruhan, memandangkan perbelanjaan domestik yang lebih tinggi akan merancakkan perniagaan tempatan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif.
MTUC ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Kementerian Sumber Manusia, Steven Sim atas komitmen dan sokongan yang diberikan dalam menjaga kebajikan para pekerja di Malaysia.
Kami menghargai segala usaha gigih yang telah dilaksanakan, terutamanya dalam memastikan kenaikan gaji minimum serta usaha-usaha lain yang memberi manfaat kepada golongan pekerja, termasuk perbincangan yang terbuka dengan pihak kesatuan. Kerjasama dan perhatian yang diberikan oleh Perdana Menteri merupakan satu dorongan yang sangat bermakna dalam perjuangan kesatuan untuk memastikan hak pekerja sentiasa terjamin.
MTUC berharap hubungan erat ini akan terus terjalin dalam memperjuangkan hak pekerja dan memastikan ekonomi negara berkembang secara inklusif, adil, dan saksama untuk semua lapisan masyarakat.
Mohd Effendy Abdul Ghani ialah Presiden, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)