![](https://www.workerstimes.com/wp-content/uploads/2025/02/perkeso-new-1024x576.jpg)
Oleh Mohd Effendy Abdul Ghani
PANDANGAN: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman kerajaan bahawa pekerja – pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang mengalami bencana kerja tidak lagi perlu menanggung kos rawatan di hospital kerajaan mulai 1 Mac ini.
Langkah ini merupakan satu kejayaan besar dalam usaha meningkatkan perlindungan sosial pekerja serta memastikan kebajikan mereka lebih terjamin.
Menurut Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong semalam, semua pencarum Perkeso tidak perlu lagi membayar untuk rawatan perubatan di klinik panel bermula tahun ini. Sim bagaimanapun berkata kemudahan itu hanya melibatkan kes kemalangan bencana pekerjaan serta penyakit khidmat, dan terdapat 1,400 klinik panel di seluruh negara, dengan 129 daripadanya di Pulau Pinang. Sim berkata langkah itu dibuat bagi memudahkan pekerja terutama mereka yang berpendapatan rendah untuk mendapatkan rawatan di klinik panel.
Sebagai organisasi induk yang mewakili suara pekerja Malaysia, MTUC telah lama memperjuangkan akses rawatan perubatan percuma bagi pekerja yang mengalami kecederaan akibat pekerjaan mereka.
Keputusan kerajaan ini selari dengan prinsip keadilan sosial dan tanggungjawab negara dalam memastikan pekerja mendapat perlindungan sewajarnya. Ia juga bertepatan dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang menekankan kepentingan perlindungan menyeluruh terhadap pekerja.
Polisi baharu ini akan memberi manfaat yang besar kepada pekerja, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah, bekerja dalam sektor berisiko tinggi seperti pembinaan, pembuatan, pengangkutan dan logistik.
MTUC melihat keputusan ini sebagai satu langkah progresif ke arah memperkukuhkan sistem perlindungan sosial pekerja Malaysia, setanding dengan negara maju seperti Sweden, Jerman dan Kanada yang telah lama mengamalkan sistem rawatan percuma bagi pekerja yang cedera akibat pekerjaan mereka.
Walaupun menyambut baik inisiatif ini, MTUC menegaskan bahawa pelaksanaannya perlu berjalan lancar tanpa sebarang halangan birokrasi yang boleh menyukarkan pekerja mendapatkan rawatan percuma seperti yang dijanjikan. Kerajaan perlu memastikan semua klinik panel Perkeso, hospital kerajaan dan agensi berkaitan memahami garis panduan yang jelas mengenai pelaksanaan dasar ini. Setiap pekerja yang layak mesti dapat mengakses rawatan dengan mudah tanpa prosedur yang membebankan.
Penyelarasan dengan Perkeso juga harus dipercepatkan agar manfaat ini dapat diberikan kepada pekerja secara menyeluruh.
MTUC juga menekankan bahawa majikan tidak boleh mengambil kesempatan daripada polisi ini dengan mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH). Langkah pencegahan masih perlu diberikan keutamaan bagi mengurangkan risiko kemalangan di tempat kerja.
Majikan perlu terus memastikan pematuhan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994) serta menyediakan persekitaran kerja yang selamat melalui latihan keselamatan berkala dan perlindungan insurans yang mencukupi.
MTUC memuji keputusan kerajaan ini sebagai satu perkembangan positif yang memberi kelegaan kepada pekerja di Malaysia. Kami berharap polisi ini akan terus diperkukuhkan dan diperluaskan agar sistem perlindungan sosial di negara ini menjadi lebih menyeluruh dan berdaya tahan.
MTUC akan terus memantau pelaksanaan dasar ini dan bekerjasama dengan kerajaan serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan hak dan kebajikan pekerja terus dilindungi.
Nota: Mohd Effendy Abdul Ghani ialah Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)