MoU dimeterai, Kompleks Limbungan Kapal Hibrid bakal dibina di Tanjung Agas, Pahang

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Ali Syahbana Sabaruddin dan Pengerusi Syarikat Teroka Majubina, Datuk Mohd Isa Abu Kasim bertukar dokumen Memorandum Persefahaman dengan disaksikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail di Kuala Lumpur pada 20 Oktober 2023.

KUALA LUMPUR: Syarikat Teroka Majubina Sdn Bhd dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Kuala Lumpur untuk membangunkan sebuah Kompleks Limbungan Kapal Hibrid di Tanjung Agas, Pekan, Pahang.

MoU dimeterai di ibu negara semalam, 20 Oktober.

Bagi pihak Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri, MoU ditandatangani oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Ali Syahbana Sabaruddin dengan disaksikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail manakala Teroka Majubina pula diwakili oleh Pengerusinya, Datuk Mohd Isa Abu Kasim.

Mohd Isa berkata, projek ini adalah satu usahasama di antara Syarikat Teroka Majubina Sdn Bhd dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan.

“Di bawah MoU yang ditandatangani ini, Teroka MajuBina Shipyard Complex dijadual untuk beroperasi mulai tahun 2025, merangkumi kawasan seluas 400 hektar (1,000 ekar) di Tanjung Agas, Pekan, yang menempatkan enam ‘dry docks’ yang panjangnya 500 meter, dikelilingi oleh 12 dermaga.

“Pembinaan kapal, penyelenggaraan kapal, ‘green ship recycling’ dan kejuruteraan maritim pesisir pantai dan penyahtauliahan merupakan antara fungsi utama di kompleks limbungan hibrid ini,” kata beliau dalam satu kenyataan media.

Menurut beliau, pelaburan dari luar negara dan juga dalam negeri akan menjadi asas kepada projek ini.

“Kemudahan ini akan menjadi limbungan yang pertama di dunia yang bakal menggunakan 100 peratus tenaga hijau atau sumber yang boleh diperbaharui,” kata beliau.

Malah, tambah Mohd Isa, kemudahan ini akan menjadi fasiliti terbesar kitar semula hijau di Asia Tenggara.

“Sebuah stesen janakuasa biomass 200MW yang menggunakan tandan kosong kelapa sawit akan dibina di dalam kompleks limbungan hibrid ini,” kata beliau.

Tambah beliau, pembinaan projek ini akan bermula pada bulan Mac 2024 dan akan beroperasi pada bulan Jun 2025.

“Projek ini sangat tepat pada masanya kerana Hong Kong Convention 2009 akan dikuatkuasakan pada Jun 2025, di mana mengikut konvensyen ini, kapal atau struktur pelantar minyak atau gas tidak boleh dihantar dari Negara A ke Negara B tanpa kepentingan yang munasabah.

“Oleh itu, projek ini akan membantu kapal-kapal milik Malaysia dan pelantar-pelantar minyak atau gas milik Malaysia dapat dikitar semula secara selamat mengikut tatacara-tatacara International Maritime Organisation (IMO).

Pada masa yang sama, European Union Regulations No 1257/2013 akan diperoleh oleh shipyard ini melalui konsultan-konsultan dari Eropah,” kata beliau.

Selat Melaka dilalui oleh lebih 90,000 buah kapal setiap tahun dan kedudukan Laut China Selatan yang strategik akan menjadi kelebihan kepada projek ini untuk berjaya.

Menjelaskan lanjut, kata Mohd Isa, projek ini akan menjadi satu kemegahan kepada Malaysia dalam pelbagai sudut.

“Sebanyak 15,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan secara langsung dan 10,000 lagi pekerjaan secara tidak langsung,” katanya.

Malah katanya, projek ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan pesat kepada beberapa daerah di Pahang, terutamanya Pekan dan Kuantan. Industri-industri sampingan akan wujud daripada projek ini.

“Projek ini akan menjadi ‘game changer’ kepada industri maritim di Malaysia,” katanya lagi.

Tambah beliau, pihaknya mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan dan kerjasama diberikan oleh Menteri Besar Pahang, Kerajaan Negeri Pahang dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dalam merealisasikan projek yang penting dan signifikan ini kepada Kerajaan Negeri Pahang dan Malaysia secara keseluruhan.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Ali Syahbana Sabaruddin dan Pengerusi Syarikat Teroka Majubina, Datuk Mohd Isa Abu Kasim menandatangani dokumen Memorandum Persefahaman. Antara hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail.