KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia menegaskan seramai 2,500 guru yang enggan menerima suntikan vaksin COVID-19 akan diberi tugasan lain di sekolah apabila sesi persekolahan dibuka nanti, dijadual awal mula awal bulan depan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, terdapat banyak tugasan lain di sekolah yang boleh dilakukan guru berkenaan.
“Pada masa sama, kami juga sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) apa tindakan dan pendekatan selanjutnya untuk guru-guru ini,” kata beliau dipetik BERNAMA.
Radzi berkata demikian selepas melawat kesan banjir akibat fenomena kepala air di daerah Yan pada 18 Ogos lepas, di Yan hari ini.
Semalam beliau mengumumkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia telah menetapkan bahawa guru yang enggan menerima vaksin Covid-19 tidak akan dibenarkan mengajar secara bersemuka di dalam kelas serta berinteraksi dengan pelajar apabila sesi persekolahan dibuka pada 3 Oktober ini.
Katanya, tindakan itu diambil bagi memastikan ibu bapa yakin bahawa persekitaran sekolah selamat untuk anak-anak mereka.
Sehingga kini, terdapat 2,500 guru di negara ini masih tidak divaksinkan dan sebanyak 96.7% telah menerima sekurang-kurangya satu dos vaksin dan 85.26% telah melengkapkan dua dos vaksin, kata beliau.
Menurut beliau, kementerian akan mengeluarkan garis panduan mengenai tugasan guru-guru yang tidak divaksin.
Radzi berkata selain tenaga pengajar dan kakitangan sekolah, pekerja perkhidmatan sokongan sekolah seperti pekerja kantin, pekerja kebersihan dan pengawal keselamatan yang berada di sekolah juga wajib menjalani proses vaksinasi terlebih dahulu.
Setakat ini sebanyak 73.71% daripada pekerja perkhidmatan sokongan sudah lengkap menerima dua dos vaksin manakala 89.43% lagi sudah menerima satu dos suntikan vaksin.