MEF mahu sistem kuota buruh asing diteruskan demi pemulihan ekonomi pantas

Presiden MEF, Datuk Syed Hussain Syed Husman.

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) mahu sistem kuota khas pengambilan pekerja asing diteruskan bagi membolehkan sektor swasta mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia.

Presiden MEF, Datuk Syed Hussain Syed Husman berkata, ekonomi negara terjejas teruk akibat sekatan pergerakan yang berpanjangan disebabkan oleh COVID-19 dan banjir baru-baru ini, khususnya di Lembah Klang.

Kata beliau, pemberhentian sistem kuota akan memberi kesan kepada keperluan operasi majikan.

“Adalah amat kritikal bagi kami untuk meletakkan usaha pemulihan dengan cepat di landasan yang betul, terutamanya dengan pengumuman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) baru-baru ini bahawa Vietnam telah mengatasi Malaysia untuk menjadi ekonomi keempat terbesar di Asia Tenggara.

“MEF berpendapat bahawa kuota harus berasaskan permintaan sektor dan syarikat. Jika majikan menderita, semua dalam rantaian bekalan juga akan menderita,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Beliau menambah bahawa buruh asing diperlukan dalam sektor-sektor tertentu.

Syed Hussain juga berkata, berdasarkan data IMF mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar untuk 2020, Malaysia kini berada di kedudukan keenam dalam ASEAN.

Negara Filipina dan Singapura mengatasi Malaysia pada 2015.