MEF: Kelepasan am Wilayah Persekutuan ‘cuti am bergaji’

Kuala Lumpur menjuarai Piala Malaysia dalam final pada Selasa lepas.

]

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menjelaskan syarikat-syarikat di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan diperuntukkan untuk memberi cuti am bergaji kepada pekerja bagi mematuhi subseksyen 9(2) Akta Hari Kelepasan Am 1951 Wilayah Persekutuan.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, ia susulan pengisytiharan Hari Kelepasan Am Tambahan di seluruh Wilayah Persekutuan hari ini.

“Syarikat yang perlu beroperasi pada tarikh cuti tersebut boleh sama ada menggantikannya dengan persetujuan pekerja kepada hari lain sebagai cuti umum bergaji pada kadar yang ditetapkan untuk kerja hari kelepasan am,” kata beliau dipetik Sinar Harian Online.

Shamsuddin menambah, cuti umum pada hari ini adalah bukan di bawah bidang kuasa Seksyen 60D (1)(b) Akta Pekerjaan 1955 kerana ia diisytiharkan di bawah Seksyen 9 (2) Akta Hari Kelepasan Am 1951 dan tidak diisytiharkan di bawah Seksyen 8 Akta 1951.

Rabu lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mengumumkan Jumaat sebagai Cuti Khas Peristiwa sempena kejayaan pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) menjuarai Piala Malaysia selepas menewaskan Johor Darul Ta’azim (JDT) pada Selasa.

Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, jika syarikat menyambut cuti umum itu dan hari berkenaan ialah hari rehat pekerja, maka syarikat hendaklah memberikan cuti am bergaji selepas hari rehat pekerja itu.

Menurutnya, peraturan tersebut telah ditetapkan menurut Seksyen 60D (1) Akta Pekerjaan 1955.

“Syarikat juga dinasihatkan supaya menurut Seksyen 60D (2) daripada Akta Kerja 1955 iaitu pekerja yang tidak hadir bekerja pada hari bekerja sejurus sebelum atau selepas cuti umum tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada majikannya tidak berhak mendapat apa-apa gaji hari kelepasan untuk cuti atau hari kelepasan berturut-turut.

“Melainkan dia mempunyai alasan munasabah untuk ketidakhadiran tersebut,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dilaporkan berkata, majikan sektor swasta digalakkan memberi cuti am bergaji kepada pekerja mereka di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang diisytiharkan sebagai hari pelepasan am.

Katanya, hari kelepasan am tambahan yang diisytiharkan itu bukan merupakan hari kelepasan am bergaji yang wajib diberikan menurut seksyen 60D (1)(b) Akta Kerja 1955.

“Majikan di sektor swasta digalakkan memberi cuti am bergaji kepada pekerja-pekerjanya,” kata beliau semalam.