MEF, ILO ganding tangani isu tenaga kerja asing, basmi buruh paksa di Malaysia

Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) teruskan kerjasama dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa dalam menjalankan aktiviti utama berkaitan pengambilan pekerja asing yang adil dan pembasmian buruh paksa di Malaysia bagi tahun 2023-2024.

KUALA LUMPUR: Susulan kerjasama dengan Rangkaian Perniagaan Global Pertubuhan Buruh Antarabangsa Mengenai Buruh Paksa (ILO-GBNFL) lima tahun lalu berkenaan Tanggungjawab Perniagaan Mencegah dan Menangani Buruh Paksa di Malaysia, Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) sekali lagi berganding bahu dengan badan itu dalam menjalankan beberapa aktiviti utama berkaitan pengambilan pekerja asing yang adil dan pembasmian buruh paksa di Malaysia bagi tahun 2023-2024.

Kenyataan MEF berkata, antara inisiatif pertama ialah memperkenalkan kit alat usaha wajar mengenai pengambilan yang adil kepada syarikat-syarikat ahli MEF terpilih untuk berkongsi pemikiran mereka tentang cara ke hadapan dalam membimbing dan mendidik majikan dalam proses pengambilan pekerja asing.

MEF berkata, kit alat usaha wajar yang disemak kemudiannya dilancarkan semasa taklimat negara pada 18 Januari lalu, yang dihoskan dalam talian oleh MEF-ILOGNFL, dengan kerjasama Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA).

“Selain melancarkan kit alat usaha wajar mengenai pengambilan yang adil semasa taklimat negara, acara itu juga memperkenalkan dokumen berbeza mengenai buruh paksa dan mengingatkan majikan tentang kesan ancaman buruh paksa dalam operasi perniagaan dan produktiviti,” kata kenyataan itu.

Ia menambah, majikan-majikan juga diberi peluang untuk berkongsi cabaran mereka apabila mengambil pekerja asing di rantau ini.

Kenyataan itu menambah, pada 21 Februari lalu, MEF bersama ILMIA, dengan sokongan ILO-GBNFL mengumpulkan kira-kira 100 peserta melibatkan agensi kerajaan, majikan sektor swasta, organisasi masyarakat sivil dan ahli akademik secara fizikal dan lebih 84 peserta secara maya, untuk perbincangan meja bulat kerajaan.

Menurut kenyataan MEF itu, Timbalan Menteri Kementerian Sumber Manusia, Datuk Sri Abul Rahman Mohamad telah dijemput untuk merasmikan perbincangan meja bulat tersebut.

Kata kenyataan itu, dalam ucapannya, “kerajaan sangat responsif terhadap keperluan pembangunan sumber manusia dan tidak akan menjejaskan sebarang bentuk kerja paksa.

“Kerajaan terbuka untuk mendengar pendapat dan cadangan daripada masyarakat dalam usaha membasmi isu buruh paksa dan promosi pengambilan pekerja asing yang adil.”

Meja bulat itu termasuk, antara lain, cabaran pengambilan pekerja asing, pengambilan yang adil dan pembasmian buruh paksa, bab buruh perjanjian komprehensif dan progresif untuk perkongsian trans-pasifik (CPTPP) dan pelan tindakan kebangsaan mengenai buruh paksa dan langkah ke hadapan.

Acara itu turut menjemput pelbagai pihak berkepentingan termasuk wakil bahagian dasar, Kementerian Sumber Manusia, Institut Analisis Pasaran Buruh (ILMIA), ILO GBNFL, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia dan majikan sektor swasta sebagai panelis untuk membincangkan isu penting- memajukan agenda global untuk membasmi buruh paksa.

Timbalan Pengarah Biro Aktiviti Majikan ILO GBNFL, Adam Greene dalam ucapan penutupnya melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan MEF dalam menyokong usaha global membasmi semua bentuk kerja paksa dan menggalakkan pengambilan pekerja yang adil.

MEF dalam kenyataan itu berkata, pihaknua akan kekal teguh dalam usahanya untuk mendidik majikan bagi memastikan norma pengambilan pekerja yang adil diamalkan.

Timbalan Presiden MEF, Dr Mohd Syukri Ahmad Sudari pula berkata, MEF sebagai wakil majikan swasta akan terus berdialog dengan kerajaan serta kesatuan sekerja untuk memperbaiki keadaan pekerja asing di negara ini.