KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim dikurniakan Professor of Practice Award (Pengurusan Strategik) oleh Universiti Geomatika Malaysia (UGM), semalam.
Pada Majlis Konvokesyen UGM ke-16 yang berlangsung di ibu negara, penganugerahan telah disampaikan oleh Canselornya, Toh Puan Dr Asmah Abdul Rahman.
Dalam kenyataan hari ini, WTC KL berkata, anugerah itu merupakan salah satu anugerah akademik tertinggi yang dianugerahkan oleh UGM kepada individu bagi mengiktiraf perkhidmatan berjasa mereka kepada universiti terserbut.
“Penganugerahan ini turut mengiktiraf nilai yang diraih oleh individu tersebut atas jasa dan sumbangannya terhadap UGM. Anugerah ini membawa gelaran profesor,” katanya.
Dalam kenyataan itu, Irmohizam berkata: “Saya amat berbesar hati menerima Professor of Practice Award daripada UGM ini.”
“Sebagai Pro-Canselor 1 UGM, pengiktirafan ini mencerminkan dedikasi saya dalam bidang akademik, dan saya akan berusaha untuk menyumbang kepada persekitaran pembelajaran yang bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi juga memupuk pemikiran kritis, kreatif, dan belas kasihan terhadap kemajuan warga UGM,” kata beliau,
Menurut kenyataan itu, sumbangan beliau dalam dunia korporat melangkaui peringkat nasional, dibuktikan oleh peranannya dalam pelbagai organisasi antarabangsa yang disegani.
“Irmohizam juga merupakan rakyat Malaysia pertama yang dilantik untuk menganggotai Lembaga Pengarah World Trade Centers Association (WTCA) yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat.
“Beliau juga aktif dalam menerajui industri Acara Perniagaan di Malaysia dan di peringkat global,” katanya lagi.
Komitmen Irmohizam terhadap pembelajaran berterusan, kata kenyataan itu, telah menjadikan beliau teladan dan inspirasi kepada individu lain yang berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang pilihan mereka dan menunjukkan kepentingan pembelajaran sepanjang hayat.
“Pengiktirafan Irmohizam oleh UGM menambah kepada senarai pencapaiannya yang mengagumkan dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemimpin dan penyumbang kepada kemajuan ilmu dalam dunia korporat dan akademik.
“Beliau juga ingin menyumbang dan bekerjasama dengan sebaiknya dengan UGM di bawah kapasitinya sebagai Pro-Canselor 1 universiti itu,” kata kenyataan itu lagi.