MCW mahu dasar isytihar harta anggota pentadbiran segera dikuat kuasa

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa kerajaan untuk segera melaksanakan pengisytiharan harta bagi semua anggota pentadbiran – termasuk menteri, timbalan menteri, dan setiausaha politik, tanpa sebarang kelewatan tambahan.

Oleh Jais Abdul Karim

PANDANGAN:  Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa kerajaan untuk segera melaksanakan pengisytiharan harta bagi semua anggota pentadbiran – termasuk menteri, timbalan menteri, dan setiausaha politik, tanpa sebarang kelewatan tambahan.

Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) pada 6 Julai 2023 sudah hampir setahun berlalu, namun sehingga kini pelaksanaannya masih belum dimuktamadkan. 

MCW memandang serius kelewatan ini kerana ia memberi gambaran seolah-olah kerajaan tidak bersungguh-sungguh dalam memastikan ketelusan dan integriti dalam pentadbiran. Pengisytiharan harta adalah langkah asas dalam memastikan akauntabiliti pemimpin serta mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan pengumpulan kekayaan yang mencurigakan. 

MCW turut menekankan bahawa format baharu pengisytiharan harta yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) pada 8 Januari 2024 perlu segera dimuktamadkan dan dikuatkuasakan tanpa alasan.

Kerajaan tidak boleh terus berdolak-dalik kerana keengganan melaksanakan langkah ini hanya akan menimbulkan keraguan rakyat terhadap komitmen kerajaan dalam membanteras rasuah. 

 Dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang bebas rasuah, ketelusan dalam kepimpinan adalah langkah paling utama. Jika kerajaan benar-benar komited dengan agenda reformasi dan tatakelola baik, maka tiada sebab untuk melengahkan pelaksanaan pengisytiharan harta ini. 

MCW menyeru kerajaan untuk menetapkan garis masa yang jelas bagi pelaksanaan pengisytiharan harta ini serta memastikan ia merangkumi butiran lengkap dan boleh diakses untuk semakan badan berkaitan seperti SPRM dan masyarakat sivil. 

Sebagai tanda keseriusan, MCW akan menghantar surat terbuka kepada Perdana Menteri dan semua Menteri bagi menyatakan kebimbangan terhadap kelewatan ini dan mendesak agar ia segera dimaktubkan serta dilaksanakan tanpa sebarang kompromi. 

Jais Abdul Karim ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia