Maybank perkenal pengeluaran tunai ATM tanpa sentuh, pertama di Malaysia

Kumpulan Maybank memperkenalkan perkhidmatan pengeluaran tunai Mesin Teler Automatik (ATM) tanpa sentuh yang pertama di Malaysia.

KUALA LUMPUR: Kumpulan Maybank memperkenalkan perkhidmatan pengeluaran tunai Mesin Teler Automatik (ATM) tanpa sentuh yang pertama di Malaysia.

Dalam kenyataan dikeluarkan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, perkhidmatan tersebut kini boleh digunakan melalui aplikasi MAE di ATM terpilih di seluruh negara yang menyasarkan peningkatan kemudahan kepada lebih 12 juta pemegang kad ATM Maybank berikutan pelanggan meneruskan penyesuaian gaya hidup dalam norma baharu dan menikmati akses yang lebih berdaya digital berbanding perkhidmatan perbankan tradisional.

“Pelanggan boleh menggunakan perkhidmatan ini terhadap 1,000 ATM yang akan menunjukkan ketersediaan perkhidmatan pengeluaran tunai tanpa sentuh di mesin. Akhirnya, perkhidmatan ini akan disediakan di semua ATM milik Maybank,” kata beliau.

Katanya, Maybank telah menerajui perbankan digital selama bertahun-tahun dengan membawa pelbagai penyelesaian inovatif di pasaran untuk kemudahan pelanggan.

Menurut beliau, perkhidmatan pengeluaran tunai tanpa sentuh baharu adalah satu lagi langkah dalam penawaran holistik perkhidmatan perbankan digital yang pihaknya telah menjadi perintis selama ini.

“Ia juga disediakan berikutan banyak perkhidmatan terkemuka yang kami perkenalkan baru-baru ini sebagai sebahagian daripada tawaran perbankan digital. Kami yakin akan terus menawarkan lebih banyak perkhidmatan digital pada bulan-bulan seterusnya,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, CEO Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Datuk John Chong berkata, pengeluaran ATM tanpa tunai bukan sahaja akan meningkatkan keselesaan kepada pelanggan, malah memastikan mereka dapat menikmati rangkaian penyelesaian digital yang komprehensif melalui satu aplikasi iaitu MAE.

“Untuk membuat pengeluaran tunai, pengguna hanya perlu mengimbas kod respons pantas (QR) pada skrin ATM Maybank terpilih melalui aplikasi MAE, memasukkan jumlah, memberikan nombor pengenalan peribadi (PIN) atau pengesahan biometrik di aplikasi, dan menerima wang tunai daripada ATM,” kata beliau lagi.