Mantan Setiausaha Agung MTUC Rajasekaran meninggal dunia

Mantan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), G Rajasekaran, 79, meninggal dunia di sebuah hospital petang ini. – Foto ihsan ITUC

KUALA LUMPUR: Mantan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), G Rajasekaran, 79, meninggal dunia di sebuah hospital petang ini.

Difahamkan mendiang menghembuskan nafas terakhir sekitar 3 petang selepas menjalani rawatan jangkitan paru-paru.

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal yang mengesahkan berita pemergian Rajasekaran berkata, beliau meninggal dunia selepas jatuh sakit baru-baru ini.

“Ya betul saya ada menerima khabar mengenai pemergian mendiang Rajasekaran,” kata beliau kepada Workers Times, dan menyifatkan gerakan kesatuan sekerja telah kehilangan seorang pejuang kepentingan pekerja.

“Ini satu kehilangan besar kepada pekerja, perjuangan kesatuan sekerja dan negara,” kata beliau.

Mohamed Shafie yang juga mantan Timbalan Presiden MTUC menyifatkan satu kehilangan besar kepada gerakan kesatuan sekerja di Malaysia dan antarabangsa. Mohamed Shafie bersama mantan Presiden MTUC, Tan Sri Zainal Rampak telah bersama-sama dengan Rajasekaran terlibat dalam perjuangan membela pekerja ketika itu.

Setiausaha agung paling lama berkhidmat

Dalam pada itu, mantan Setiausaha Agung MTUC, J Solomon menyifatkan Rajasekaran, yang setiausaha agung yang telah lama berkhidmat, telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran sebagai seorang pemimpin kesatuan.

“Beliau seorang pemimpin yang tegas yang gigih mengejar matlamatnya. Beliau menghulurkan bantuan kepada pekerja yang tidak terkira banyaknya dan juga kepada pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja.

“Sumbangan besar beliau juga bergema di peringkat kesatuan sekerja serantau sebagai presiden ITUC, Rantau Asia Pasifik.

“Dengan rasa hormat dan terima kasih yang mendalam, kami menghargai jasa beliau dan legasi luar biasa yang beliau tinggalkan,” kata Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) itu.

Katanya, “semangat dan sumbangan kesatuan sekerja beliau akan sentiasa terpahat dalam hati kami, memberi inspirasi kepada kami semua yang terus berusaha demi kepentingan terbaik pergerakan kesatuan sekerja.”

Berkhidmat sehingga akhir hayat

Berdasarkan maklumat media sosial Facebook Kesatuan Pekerja-pekerja Logam Malaysia (MIEU) beliau aktif mengendalikan kursus dan latihan untuk ahli-ahlinya sehingga ke akhir hayat. Beliau merupakan bekas pemimpin kesatuan itu termasuk pernah menyandang jawatan setiausaha eksekutif.

Rajasekaran juga pernah menjawat jawatan di peringkat antarabangsa, antara lain sebagai Presiden Persekutuan Antarabangsa Kesatuan Sekerja Bebas – Pertubuhan Serantau Asia dan Pasifik (ICFTU-APRO).

Mendiang memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan Setiausaha Agung MTUC yang disandang sejak 1994 pada tahun 2010, tetapi menyangkal keputusan muktamad itu berkaitan dengan “politik” dalaman badan induk pekerja itu.

Sehubungan itu, beliau menyatakan sokongan terbuka kepada Timbalannya, Datuk Abdul Halim Mansor yang merupakan Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja Petroleum dan Kimia untuk bertanding jawatan tersebut.

Pada tahun 2008 Rajasekaran menang tipis dengan perbezaan empat undi. Dua tahun kemudian mahkamah telah mengesahkan kemenangan Rajasegaran.

Rajasekaran mencabar Dr V. David ketika memegang jawatan Timbalan Setiausaha Agung MTUC. Lazimnya timbalan setiausaha agung akan mengambil alih jawatan setiausaha agung menerusi pemilihan.

Rajasekaran dipilih sebagai Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk lapan kali dari 1993 hingga 2010.

Beliau juga adalah Presiden ICFTU APRO dari 2005 hingga 2007, dan Presiden Konfederasi Kesatuan Sekerja Antarabangsa Asia Pacific (ITUC-AP) dari 2007 hingga 2015.

Bagaimanapun kata Rajasekaran, keputusan beliau berundur bukan kerana kononnya wujud masalah dalaman atau krisis kepimpinan dalam MTUC.

Foto Facebook Kesatuan Pekerja-pekerja Logam Malaysia bertarikh 7 Julai 2023 menunjukkan G. Rajasekaran sedang menerangkan Matlamat Kursus Kepimpinan.

Sementara itu, mantan Setiausaha Kewangan MTUC, A. Sivananthan berkata, mewakili ahli-ahli Kesatuan Tekstil Johor beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang, MTUC dan juga pegawai-pegawai MIEU.

“Saya mempunyai hubungan aktif dan keterlibatan bersama beliau semasa saya menjadi setiausaha kewangan MTUC semasa tempoh (kepimpinan) beliau dalam MTUC.

“Kami memainkan peranan aktif dalam pindaan undang-undang buruh di mana kami mempunyai perbezaan kerana saya mengharapkan prospek progresif untuk pekerja yang tertindas tetapi perbincangan kami adalah sihat demi kepentingan pergerakan buruh walaupun terdapat perbezaan terutamanya mengenai penubuhan kesatuan dalaman yang penuh dengan cabaran sehingga kini,” kata beliau.

Pakar perlindungan sosial pekerja itu menambah, terdapat kenangan tentang pencapaian dalam tindakan-tindakan untuk pergerakan buruh di negara ini, dan “didoakan roh mendiang senantiasa dicucuri rahmat Tuhan.”