Mantan Presiden MTUC Zainal Rampak meninggal dunia

Mantan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Tan Sri Zainal Rampak meninggal dunia awal pagi tadi. – Foto ihsan Utusan Online

KUALA LUMPUR: Tokoh kesatuan sekerja dan mantan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Tan Sri Zainal Rampak meninggal dunia awal pagi tadi.

Allahyarham berusia 84 tahun dan merupakan anak jati Kampung Pinang, Tanjung Kling, Melaka.

Berita pemergian Zainal dikongsi oleh Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal sebentar tadi.

“Dengan dukacita dimaklumkan bahawa mantan Presiden MTUC, Tan Sri Zainal Rampak telah kembali ke Rahmatullah awal pagi tadi, sekitar pukul 2 pagi,” kata beliau yang pernah menjadi timbalan kepada Allahyarham pada tahun 1990-an kepada Workers Times.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang, Selangor dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya, Selangor.

Zainal juga merupakan salah seorang ahli panel penasihat UNI-MLC.

Allahyarham terlibat dalam pergerakan kesatuan sekerja di Malaysia lebih 50 tahun.

Beliau pernah menyandang jawatan Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Pengangkutan (TWU) dan sebagai Presiden MTUC) dari 1985 hingga 2006 dan pernah dipilih sebagai Ketua Pengarah ICFTU Asian and Pacific Regional Organization (ICFTUATUC).

Zainal menjadi Pengerusi Asian and Pacific Regional Council of the International Transport Workers Federation (ITF) dan sebagai Setiausaha Majlis ITF Malaysia.

ICFTU mengiktiraf keupayaan Allahyarham dengan melantiknya sebagai penyelaras bagi Kumpulan Pekerja ILO bagi Asia Pasifik. Beliau juga pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Pemandu dan Jurucakap Rasmi (Kumpulan Pekerja) Program Antarabangsa Penghapusan Buruh Kanak-kanak (ILO-IPEC). Zainal juga pernah berkhidmat sebagai Jurucakap Rasmi (Kumpulan Pekerja) untuk Jawatankuasa Perusahaan Multinasional ILO.

Beliau adalah juga Naib Pengerusi Lembaga Kesatuan Sekerja itu untuk ILO Turin, Itali dan juga Ahli Lembaga Pusat Latihan Antarabangsa ILO di Turin, Itali.

Selain itu, beliau pernah menjadi ahli Badan Kerajaan di Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) iaitu dari 1993 hingga 1999. Tahun 1999.

Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal (kiri) mengadakan pertemuan dengan Allahyarham Tan Sri Zainal Rampak sempena ulang tahun hari jadi Allahyarham pada bulan Februari 2018. – Foto ihsan UNI-MLC

Dalam satu temu bual Bersama Sinar Harian empat tahun lalu, Zainal yang bekerja sebagai kerani Kesatuan Sekerja Pengangkutan (TWU) pada 1950-an berkata, pengalamannya ketika menguruskan hal ehwal pekerja di kesatuan berkenaan adalah detik mula beliau nekad membela nasib pekerja sektor swasta.

Allahyarham pernah dilantik sebagai anggota Dewan Negara.

“Saya tidak pernah bertukar kerjaya sejak bekerja di kesatuan itu. Daripada situ saya banyak belajar hal ehwal pekerja, mengambil aduan pekerja dan bawa ke Pejabat Buruh atau pergi ke Mahkamah Buruh untuk mendengar kes. Ada kes menang, ada juga kalah,” kata beliau kepada Sinar Harian dan menambah, bukan mudah untuk menjadi pemimpin kesatuan pekerja kerana memerlukan kesungguhan dan keberanian.

Pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja turut mengucapkan takziah dan rasa terkejut mereka dengan pemergian Zainal yang juga Pengerusi Institut Teknologi Pekerja (WIT).

Bekas Setiausaha Agung CUEPACS, A.H. Ponniah (foto) berkata, dunia kesatuan sekerja Malaysia kehilangan “seorang lagi veteran kesatuan sekerja.”

“Saya ada bertemu dengan beliau sebulan yang lalu, membincangkan isu-isu pekerja dan perkembangan di MTUC… yeah, berita ini mengejutkan saya walaupun beliau uzur kebelakangan ini,” kata beliau yang pernah menyandang jawatan Naib Presiden MTUC kepada Workers Times.

Mantan Setiausaha Agung MTUC, G Rajasekaran meninggal dunia pada Ogos lalu.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE), J Solomon (foto) berkata, “beliau telah membantu ramai pekerja semasa menerajui MTUC. Saya mengagumi keberanian beliau semasa mengetuai pergerakan kesatuan sekerja.

Solomon juga merupakan mantan Setiausaha Agung MTUC.

Tan Sri Zainal Rampak menerima Anugerah Tokoh Kesatuan Sekerja pada Perhimpunan Keluarga Kesatuan Sekerja SeMalaysia 2022 dua tahun lalu. – Foto ihsan KOSMO!.