Malaysia rekod pelaburan RM329.5 bilion tahun 2023, tertinggi dalam sejarah – Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Majlis Pelaburan Negara semalam. – Foto ihsan FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion tahun lalu, jumlah tertinggi dalam sejarah negara, kata Perdana Menteri.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, jumlah tersebut merupakan 23 peratus lebih tinggi berbanding tahun 2022.

Mengumumkan perkara itu petang semalam selepas mempengerusikan Majlis Pelaburan Negara, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, daripada jumlah itu, pelaburan asing merupakan penyumbang utama iaitu sebanyak 57.2 peratus ketimbang pelaburan domestik sebanyak 42.8 peratus.

Kata beliau, prestasi cemerlang ini disokong lonjakan pelaburan domestik sebanyak 35.1 peratus bagi pelaburan domestik dan peningkatan sebanyak 15.3 peratus bagi pelaburan asing.

“Ini adalah satu petanda jelas bahawa dasar mesra pelaburan dan mesra perniagaan yang dilaksanakan menerusi pendekatan seluruh Kerajaan telah mula membuahkan hasil dalam meningkatkan keyakinan pelabur,” kata beliau menerusi laman Facebook.

Anwar menambah, mesyuarat itu turut membincangkan hala tuju pelaburan digital negara selaras dengan perkembangan sektor ekonomi digital yang diunjur menyumbang sebanyak 25.5 peratus ketimbang 23.2 peratus pada 2021.

Kata beliau, antara 2021 hingga 2023, sebanyak 396 projek berkaitan digital telah diluluskan dengan nilai pelaburan sebanyak RM128.9 bilion.

Ia membabitkan sektor pusat data, pengkomputeran awan, pengehosan data, analisis data besar, dan kecerdasan buatan, kata beliau lagi.

“Pelaburan dalam projek digital ini dijangka mewujudkan 36,553 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Kehadiran syarikat-syarikat digital terkemuka dunia dan peneraju pasaran global di Malaysia juga memberi isyarat penting bahawa Malaysia mempunyai tarikan dan ekosistem pelaburan yang kondusif untuk pelaburan digital,” kata Anwar lagi.