KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong telah mendepositkan dokumen ratifikasi Konvensyen C155 Pertubuhan Buruh Antarabangsa sebagai sebahagian daripada langkah kerajaan untuk memperkukuhkan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Langkag itu selaras dengan keputusan Kabinet pada 8 Mei 2024, kata kenyataan Kementerian Sumber Manusia.
Kementerian Sumber Manusia berkata, dokumen ratifikasi tersebut telah diserahkan kepada Ketua Pengarah ILO, Gilbert F. Houngbo semasa menghadiri Persidangan Buruh Antarabangsa ke-112 di Geneva, Switzerland.
Turut hadir Presiden Persekutuan Pekerja-pekerja Malaysia (MEF) dan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) selaku rakan tiga pihak kerajaan.
“Langkah ini adalah satu tindakan positif Malaysia dalam menambah baik standard perburuhan negara khususnya dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang merupakan hak asasi global yang sangat penting.
“Pada masa yang sama, usaha tersebut akan menjadi pelengkap kepada pelaksanaan dasar dan perundangan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara susulan pindaan ke atas Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan) 2022 yang akan berkuat kuasa pada 1 Jun 2024,” kata Kementerian Sumber Manusia.
Katanya,pada masa yang sama, langkah ini akan mempercepatkan usaha negara ke arah mencapai sasaran 8.8 di bawah Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang menekankan perlindungan hak buruh dan promosi persekitaran kerja yang selamat dan terjamin untuk semua pekerja. Kerajaan telah mengadakan perbincangan dan konsultasi dengan rakan tripartite iaitu
“MEF, MTUC serta turut mendapatkan pandangan pihak ILO sebelum membuat keputusan meratifikasi Konvensyen C155 ini.
“Kementerian Sumber Manusia akan mengadakan sesi pemakluman kepada semua pihak berkepentingan termasuk media mengenai ratifikasi ini dan keperluan pematuhannya. Langkah ini diharapkan akan membawa kepada peningkatan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja di seluruh negara,” kata kementeriaan itu lagi.