Malaysia perlukan lebih ramai wartawan siasatan, saran TI-Malaysia

Foto berkumpulan para peserta dan pembentang Bengkel Kewartawanan Siasatan anjuran TI-M di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) melihat keperluan yang mendesak untuk melengkapkan wartawan Malaysia dengan kemahiran dan pengetahuan khusus bagi membolehkan mereka mencungkil salah guna amanah awam, dan memerangi rasuah.

Justeru itu, TI-Malaysia menganjurkan bengkel kewartawanan siasatan secara fizikal di Kuala Lumpur hari ini, di mana seramai 35 wartawan kumpulan media utama dalam negara mengambil bahagian secara aktif. Ini merupakan tahun kedua TI-Malaysia menganjurkan bengkel seumpama ini demi manfaat wartawan Malaysia.

Dalam ucapan perasmiannya, Dr Muhammad Mohan, Presiden TI-Malaysia berkata, TI-Malaysia menganjurkan bengkel sehari ini kerana melihat keperluan untuk lebih ramai wartawan mempunyai pengetahuan yang mendalam dan kemahiran yang diperlukan untuk menyiasat sebarang salah laku, rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang semakin meningkat.

Beliau juga berkata: “Wartawan siasatan profesional yang melaporkan dengan ketepatan fakta dan pengetahuan mendalam tentang ketelusan, tadbir urus yang baik dan integriti adalah barisan hadapan kami dalam memerangi rasuah. Kami berterima kasih atas banyak cerita yang terbongkar berkat usaha dan risiko yang dilalui oleh wartawan.”

Bengkel ini memberi pemahaman kepada wartawan mengenai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (2010) dari perspektif perundangan, cara menjadi wartawan siasatan yang bertanggungjawab dan mempraktikkan teori tersebut. Para peserta juga didedahkan tentang cara mendapatkan sumber dan menceritakan kisah yang hebat.

Ia menampilkan empat penceramah, iaitu pengamal undang-undang Encik Chew Phye Keat dari Raja Daryl & Loh; Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican, Profesor sejarah sosial dan intelek, ISTAC-UIAM, penulis esei dan kolumnis; Editor Urusan The Vibes, En Terence Fernandez; dan Pengurus, Kreatif, Kandungan dan Integrasi, Sistem Televisyen Malaysia Berhad, Kumpulan Media Prima, Cik Farrah Naz Abdul Karim.

“TI-Malaysia gembira dengan sokongan padu yang diterima daripada organisasi media untuk tahun kedua. Justeru itu, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua organisasi media yang telah menghantar wakil mereka ke bengkel ini,” kata Dr Muhammad Mohan.

“Dengan penyertaan tahun lepas, kami kini mempunyai lebih 60 wartawan yang telah dilatih dalam aspek kewartawanan siasatan, yang baik untuk memberi perspektif baharu bagi meningkatkan pelaporan kewartawanan siasatan di Malaysia pada masa hadapan.”

Kata beliau, TI-Malaysia akan terus memberikan sokongan yang berharga kepada wartawan untuk mengukuhkan lagi tadbir urus yang baik dan integriti dalam masyarakat kita melalui laporan media.