KUALA LUMPUR: Dalam amanat sulung di Malam Wartawan Malaysia 2023 atas kapasiti sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berkata, wartawan mempunyai kewajipan bukan sahaja untuk melaporkan berita sahih tetapi juga menjadi panduan dan pencetus idea dalam membina negara.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pengamal media perlu berasa bebas untuk berkongsi pandangan dan memberi kritikan membina kepada kepimpinan negara ke arah tadbir urus yang lebih baik.
Kata beliau, golongan ulama dan wartawan harus bebas mengkritik kepimpinan negara dan mempunyai perbezaan pendapat.
“Saya yakin tugas wartawan bukan sekadar melaporkan tetapi mencetus idea untuk negara,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Malam Akhbar Malaysia 2023 sempena Anugerah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2022 malam tadi.
Perdana menteri turut menyeru pengamal media memainkan peranan sebagai pendidik untuk memupuk minat membaca dan menimba ilmu.
Anwar berkata, tanpa minat membaca yang mendalam, rakyat tidak akan mempunyai kefahaman yang sewajarnya terhadap isu-isu yang berlaku dalam negara termasuk soal dasar dan tadbir urus.
Perdana Menteri berkata cabaran pada masa ini adalah untuk meningkatkan semula keupayaan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi berdasarkan konsep Madani, sambil menambah kebebasan demokrasi hanya boleh ditingkatkan melalui wacana “segar” yang digerakkan oleh wartawan.
MPI dalam kenyataannya berkata, industri kewartawanan diraikan dengan penuh bermakna apabila pimpinan tertinggi kerajaan, Perdana Menteri hadir ke Malam Wartawan Malaysia 2023.
Lebih 800 tetamu sebahagian besarnya komuniti pengamal media, pengamal komunikasi korporat dan perhubungan hadir mewarnai majlis tersebut.
Malam Wartawan Malaysia (MWM) adalah acara tahunan yang dinantikan oleh pengamal media Malaysia bertujuan meraikan karya-karya kewartawanan terbaik sepanjang tahun 2022 menerusi Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2022.
Lebih empat dekad penganjurannya majlis ini terus didokong dengan sokongan luar biasa dan berterusan daripada PETRONAS (Petroliam Nasional Berhad) sebagai penaja tunggal HKM sejak tahun 1994 hingga kini. Untuk rekod Malayan Tobacco Company (MTC) adalah penaja awal HKM antara 1980 hingga 1993.
Tahun ini menyaksikan 44 organisasi media bersaing untuk memenangi hadiahhadiah utama HKM 2022 iaitu pemenang emas dengan nilai wang hadiah RM 10,000, pemenang perak bernilai RM1,500 dan pemenang gangsa dengan nilai hadiah RM1,000.
Seramai 84 orang menerima hadiah masing-masing.
Menurut Pengerusi MWM 2023, Datuk Dr Chamil Wariya, “tahun ini memperlihatkan peningkatan penyertaan HKM berbanding tahun sebelumnya dengan unjuran kenaikan 9.33% atau 386 penyertaan berbanding 350 yang diterima tahun sebelumnya.
Penyertaan tertinggi diterima daripada kategori Berita Video Terbaik dengan 57 penyertaan, disusuli Penulisan Rencana Cemerlang dengan 50 penyertaan dan Kewartawanan Foto Cemerlang, 38 penyertaan”.
Tambah Chamil, “MPI hormati keputusan pemenang yang dibuat tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak di dalam dan di luar MPI.”
“Panel hakim yang dilantik merupakan kalangan profesional dan berpengalaman dalam kewartawanan tetapi tidak terikat dengan mana-mana pertubuhan media,” kata beliau.
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching dan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Petronas, Puan Liza Mustapha.
Datuk Dr Chamil Wariya menyampaikan cenderahati kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. – Foto ihsan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.