Majikan wajar sediakan bayaran festival, SPCAAM harapkan mandat PM

Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) dan Persatuan Bank-bank Komersial Malaysia (MCBA) menandatangani Perjanjian Kolektif 2021-2023 pada tahun lalu, antara lain memperkenalkan bayaran perayaan satu bulan gaji.

Oleh J Solomon

PANDANGAN: Di Malaysia, kekayaan masyarakat kita dalam kepelbagaian bangsa dan agama paling terserlah ketika musim perayaan. Ketika inilah rakyat Malaysia tanpa mengira taraf hidup memperingati pelbagai perayaan kebudayaan dan keagamaan, yang menyerlahkan penyatuan dan kekuatan ikatan persaudaraan sesama kita. Tradisi ‘rumah terbuka’ kita jelas membuktikan perkara ini, apabila pintu rumah dan hati kita luas terbuka, dan kepelbagaian negara kita disambut di bawah satu bumbung – satu bukti komitmen Malaysia terhadap perpaduan dalam kepelbagaian.

Kajian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggariskan betapa pentingnya penglibatan sosial dalam memupuk kehidupan penuh makna dan kegembiraan. Ia mendedahkan bahawa individu di Lembah Klang menghabiskan hampir sebulan gaji (Lebih 90 peratus daripada gaji bulanan) ke arah aktiviti sosial dan perayaan tahunan.

Namun, kos hidup yang semakin meningkat membelenggu tradisi ini, khususnya bagi mereka dalam kumpulan pendapatan B40 dan M40. Bagi menangani isu ini, pada 2023, kerajaan Selangor dengan murah hati memberikan sebulan gaji sebagai bantuan perayaan untuk pekerjanya – satu tindakan yang dialu-alukan dan diraikan.

Susulan itu, hasil pembelaan berterusan oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE), bank-bank turut memberikan bantuan serupa kepada pekerja mereka pada 2023.

Bagaimanapun, tindakan menarik balik sokongan itu pada tahun ini, walaupun telah ada perjanjian sebelum ini, amat mengejutkan dan membingungkan.

Indonesia menunjukkan contoh luar biasa apabila mewajibkan pemberian gaji sebulan sebagai bantuan perayaan untuk pekerjanya. Amalan ini amat membantu khususnya bagi pekerja
berpendapatan rendah, dengan memastikan semangat perayaan terus dirasai tanpa dibelenggu kebimbangan kewangan. Banyak syarikat yang beroperasi di sini juga beroperasi di Indonesia termasuk GLC dan mereka membayar sebulan gaji untuk pekerja di Indonesia.

Amat mengecewakan apabila segelintir majikan di Malaysia menarik balik bantuan seumpama itu – tindakan yang nampaknya meremehkan manfaat asas pekerja, dan arahan jelas Perdana Menteri
untuk mementingkan kebajikan pekerja. Ini terutamanya dilihat apabila kebanyakan syarikat berkenaan, termasuk Syarikat Berkait Kerajaan (GLC), menikmati keuntungan tinggi yang
sebahagiannya boleh saja dikongsikan sebagai bantuan perayaan.

Keutamaan diberikan kepimpinan Perdana Menteri terhadap kebajikan pekerja berbanding keuntungan ekonomi semata-mata memang sesuatu yang terpuji. Kini penting supaya pihak GLC mematuhi arahan ini, untuk menjadi tunggak sokongan bagi tenaga kerja kita, dan memberikan inspirasi kepada sektor swasta supaya turut berbuat demikian.

Memandangkan kos sara hidup yang semakin tinggi pada 2024, ditambah pula dengan peningkatan keuntungan dinikmati pihak majikan, penarikan bantuan perayaan jelas sesuatu yang tidak dapat dijustifikasikan. Kerajaan Selangor dan bank-bank di Malaysia mesti terus mengekalkan sokongan, sepertimana dilakukan pada 2023, untuk mengekalkan kesejahteraan sosial dan tradisi yang begitu dihargai masyarakat kita.

Kita mesti melindungi hak pekerja untuk kehidupan yang memuaskan, yang turut termasuk menyambut kekayaan budaya kita tanpa bebanan kewangan. Kami menggesa Perdana Menteri mengenakan mandat terhadap semua majikan supaya memberikan sekurang-kurangnya sebulan gaji sebagai bantuan perayaan. Ini akan memperkasakan pekerja B40 dan M40 dalam meraikan sambutan dan mengukuhkan ikatan kekeluargaan merentasi pelbagai agama, memaparkan kekayaan sebenar Malaysia.

J Solomon ialah Presiden Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM)