KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Dr Shawaludin Husin berkata, majikan tidak mempunyai punca kuasa untuk memaksa kakitangan mengambil vaksin COVID-19.
Kata beliau, ada pihak memaksa pekerja kerana mahu mereka dilindungi dari jangkitan COVID-19 dan persekitaran tempat kerja selamat.
Namun kata beliau, ia mungkin satu diskriminasi dalam sektor pekerjaan.
Oleh itu jelas Shawaludin, paksaan ialah langkah tidak wajar pada waktu ini kerana tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19, terhadap mana-mana individu.
Kata beliau, peruntukan Seksyen 24 Akta Keselamatan dan Kesihataan Pekerjaan 1994 menuntut majikan memastikan keselamatan dan kesihatan dirinya dan orang lain di tempat kerja.
Bagaimanapun kata beliau, peruntukan tersebut tidak seharusnya diperluaskuasanya untuk mewajibkan vaksinasi di tempat kerja.
“Akta ini tidak pernah memperuntuk apa-apa syarat vaksinasi di dalam akta berkenaan.
“Oleh itu, MSOSH berpandangan Seksyen 24 AKKP 1994 tidak boleh digunakan untuk mewajibkan vaksinasi di tempat kerja,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Sehubungan dengan itu, Shawaludin berkata, MSOSH bimbang dengan langkah diambil majikan atau kerajaan untuk memaksa pekerja divaksinasi tanpa punca kuasa yang jelas boleh memburukkan lagi keadaan.
Katanya, tindakan itu akan mencetuskan persepsi tidak baik terhadap program imunisasi kebangsaan.
Beliau berkata, pihaknya mencadangkan kerajaan mengambil jalan tengah iaitu meneruskan kempen kepada rakyat dan pekerja secara proaktif.
“Walaupun vaksin masih lagi dianggap sebagai pilihan peribadi, MSOSH sangat menggalakkan pekerja untuk mendapatkan vaksinasi, demi melindungi diri dan keluarga. Perlu diingatkan juga, hak bekerja satu dari hak asasi manusia.”
Dalam kenyataannya, beliau mengakui bahawa data di Malaysia dan negara lain menunjukkan program vaksinasi COVID-19 berjaya mengekang wabak ini.
“MSOSH berharap kerajaan dan majikan akan terus memberi dorongan dan pemahaman berterusan yang berkesan untuk meningkatkan kadar vaksinasi COVID-19 negara,” kata beliau.
Setakat hari ini, lebih 61% orang telah menerima doa pertama manakala 46.7% telah menerima kedua-dua dos.