Oleh J Solomon
PANDANGAN: Sejak kebelakangan ini kerajaan dengan pelbagai pihak telah membincang dan membahaskan kesan kenaikan kos sara hidup dan ketidakselarasan gaji pekerja di Malaysia. Malah, keadaan bertambah buruk dengan wabak Covid-19 yang melanda Malaysia dan seluruh dunia tiga tahun lalu, yang turut telah menjejaskan pendapatan bersih yang dibawa pulang.
Walaupun begitu, usaha untuk meminimumkan beban kewangan pekerja terutamanya bagi mereka dari B40 dan M40 masih belum dapat diselesaikan sehingga kini.
Memandangkan portfilio khas yang menyelia “kos sara hidup” di bawah kepimpinan Perdana Menteri, DatUK Seri Anwar Ibrahim telah dibentuk, para pekerja berharap agar satu usaha holistik diambil oleh Kabinet.
Sehubungan itu, Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) berpandangan bahawa beberapa strategi, tindakan dan pendekatan perlu diambil oleh kerajaan dan majikan untuk membantu pekerja-pekerja diberikan elaun kos sara hidup yang munasabah bagi menangani kenaikan kos secara drastik.
Salah satu cara yang dimaksudkan adalah dengan mengagihkan bayaran khas sambutan perayaan sebulan gaji kepada setiap pekerja semasa perayaan besar yang disambut di Malaysia.
Sudah tiba masanya untuk majikan mempertimbangkan keperluan ini, di mana imbuhan khas ini boleh diagihkan kepada setiap pekerja semasa perayaan besar. SPCAAM mencadangkan imbuhan ini dibayar semasa Tahun Baharu Cina, Aidilfitri, Deepavali dan Krismas setiap tahun.
SPCAAM yakin langkah ini akan membantu mengurangkan kesan kewangan yang terpaksa dihadapi oleh pekerja setiap kali perayaan. Walaupun terdapat beberapa majikan dan juga kerajaan yang membuat bayaran peruntukan khas sekali setahun, sesetengah majikan lain memperuntukkan pinjaman atau pendahuluan yang perlu dibayar secara ansuran. Ini tidak menyelesaikan masalah.
Rukun Negara bukan sahaja harus berpegang kepada prinsip “Kepercayaan Kepada Tuhan” dan menyediakan tempat ibadat dan pendidikan, tetapi pihak yang berkuasa perlu memastikan rakyat dan keluarga mereka menyambut perayaan keagamaan yang penting dengan penuh bermakna tanpa dibebani dengan beban pinjaman.
Kerajaan boleh membuat peraturan sedemikian untuk satu perayaan besar bagi setiap agama di negara kita. Ini akan memastikan golongan yang memerlukan tidak membuat pinjaman hanya untuk meraikan majlis yang baik bersama keluarga mereka. Perayaan keagamaan adalah untuk semua orang dan bukan hanya golongan kaya.
Pelaksanaan ini mesti dikuatkuasakan melalui perundangan tertentu.
Ini diamalkan di Indonesia, dan imbuhan ini adalah usaha untuk memenuhi keperluan pekerja dan keluarga mereka semasa meraikan perayaan besar. Berdasarkan Menteri Tenaga Kerja Indonesia, syarat ini wajib dilaksanakan oleh majikan untuk pekerja.
Imbuahan ini boleh dibayar kepada pekerja mengikut kontrak pekerjaan, peraturan syarikat, perjanjian kolektif atau adat mereka. Sebenarnya di Indonesia imbuhan ini mesti dibayar selewat-lewatnya tujuh hari sebelum hari perayaan agama.
SPCAAM menyeru Kerajaan melaksanakannya dengan memperkenalkan undang-undang khusus berkaitan pembayaran khas perayaan kepada pekerja Malaysia dan perlu dipatuhi oleh majikan. Dengan segera, kerajaan boleh menguatkuasakan perkara ini di semua syarikat milik kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan mereka.
SPCAAM yakin pelaksanaan kemudahan ini tidak akan menjejaskan kos operasi majikan, sebaliknya dapat meningkatkan produktiviti pekerja dan syarikat. Malah, inisiatif ini akan mengeratkan hubungan antara majikan dan pekerja, sekali gus mewujudkan hubungan harmoni di tempat kerja.
J Solomon ialah Presiden Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM)