Majikan hargai pengawal keselamatan Nepal jujur, lapor beg berisi lebih RM500,000

Pengarah A5 Security Service, Hardeep Singh Jaswant menyerahkan sijil penghargaan kepada Sherpa Dawa semalam atas kejujurannya melaporkan penemuan beg berisi RM500,000. – Foto ihsan FMT

KUALA LUMPUR: Sikap jujur seorang pengawal Nepal yang menyerahkan sebuah beg berisi wang lebih RM500,000, yang ditemui di tempat meletak kenderaan pusat membeli-belah dekat Damansara, mendapat penghargaan majikannya.

Sherpa Dawa, 39, menerima anugerah dan hadiah daripada majikannya, A5 Security Services.

Menurut laporan FMT, Pengarah Hardeep Singh Jaswant melhahirkan rasa bangga dengan kejujuran pekerja itu kerana mengurus kejadian tersebut mengikut tatacara yang betul.

“Kami amat menghargai dengan kesetiaannya dengan syarikat, dan jujur. Mereka telah mendapat latihan yang secukupnya, mereka tahu apa yang harus dilakukan oleh kerana mereka tidak mahu mengambil risiko,” kata beliau dipetik portal tersebut.

Menurut Hardeep, “ia (wang tersebut( merupakan jumlah yang banyak dan kami sangat hargai apa yang telah pengawal kami lakukan dan kerana itu kami memberi ganjaran kepadanya hari ini.”

Hardeep menyifatkan Sherpa sebagai pekerja terbaik dan berharap dia dapat terus berkhidmat dan bersama-sama menjaga keselamatan.

“Saya harap dia akan kerja lebih lama bersama syarikat kami dan harap dapatkan dilanjutkan permit kerjanya kerana kami memerlukan orang sepertinya,” tambahnya.

Dalam pada itu, Sherpa yang sudah empat tahun berkhidmat di A5 Security Service dipetik berkata, dia amat berpegang pada tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepadanya.

Oleh kerana itu, tanpa memikirkan nilai wang tersebut, Sherpa memutuskan untuk terus membuat laporan kepada pihak pengurusan pusat beli-belah dan pihak berkuasa.

“Bila saya jumpa saya macam tak rasa takut apa-apa, sebab kita sudah dapat latihan daripada pihak syarikat, dan kemudian saya tahu saya punya tanggungjawab.

“Saya tak fikirlah duit itu berapa banyak atau sikit kita buat kita punya kerja sahaja,” kata Sherpa.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khanm berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan sebuah bagasi berwarna merah jambu dan putih bersaiz sederhana kira-kira 8 pagi pada Rabu.

Pemeriksaan mendapati beg itu berisi wang kertas RM10, RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000 dan dipercayai tulen.

Kelmarin, sebuah syarikat mendakwa wang tunai RM500,000 dalam bagasi ditemui itu milik mereka.

Polis sedang melakukan siasatan untuk memastikan wang itu benar-benar milik syarikat terbabit.