KUALA LUMPUR: Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) merintis konsep Community of Practice yang mengetengahkan penglibatan pelbagai pihak seperti wakil industri, akademik dan kerajaan dalam komuniti sesebuah industri.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, MBOT berkata, melalui Community of Practice mereka akan menentukan nilai-nilai professionalisme mereka sendiri bagi memastikan profesion mereka senantiasa terpelihara.
MBOT merupakan sebuah badan profesional yang memberikan pengiktirafan profesional kepada Teknologis dan Juruteknik dalam bidang teknologi dan teknikal.
Lembaga itu ditubuhkan di bawah Akta Teknologis dan Juruteknik 2015 untuk mengiktiraf, mengawal, menggalak dan membangunkan profesion teknologis dan juruteknik sebagai profesion ikhtisas.
Perkara tersebut diumumkan pada Program MBOT Experts Network in Technology, Innovation and Cooperative Event (MBOT ENTICE) 2022, yang berlangsung di Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Ia telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Menurut kenyataan MBOT, program tersebut merupakan penjenamaan semula program townhall atau sesi dialog yang sebelum ini dijalankan sebagai usaha kolektif untuk menghimpunkan ahli-ahli profesional MBOT bersama pemegang taruh bagi memperkukuh profesion Teknologis dan Juruteknik di Malaysia.
Antara inisiatif yang dilancarkan sempena MBOT ENTICE 2022 termasuklah Techzone iaitu kerjasama strategik antara MBOT dan universiti.
“Melalui kerjasama ini, bakal-bakal graduan teknologi dan teknikal akan memperoleh manfaat untuk membangunkan kerjaya. mereka pada masa hadapan,” kata MBOT.
MBOT juga mengumumkan kerjasama dengan learned society dalam pelbagai bidang teknologi bagi memastikan lembaga itu senantiasa menerima input yang tepat dan terkini dalam menjalankan fungsi-fungsinya.
MBOT dan learned society juga akan merangka program-program pembangunan bakat yang ada dalam industri.
Lembaga itu menambah, sebagai langkah strategik serta untuk terus inklusif, pihaknya akan memperkenalkan penubuhan Women Technologist Chapter bagi menggalakkan penglibatan golongan wanita dalam bidang sains dan teknologi.
“MBOT menyasarkan lebih ramai teknologis kalangan wanita akan lebih menyerlah khususnya dalam pembangunan industri dan negara,” kata MBOT lagi.
Dalam pada itu, Pengerusi MBOT, Datuk Ts Ir Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, ”semenjak awal penubuhan MBOT pada tahun 2015, MBOT telah mendaftarkan seramai lebih 57,000 teknologis dan juruteknik seluruh Malaysia.
“Ini merangkumi lebih 15,000 teknologis profesional dan 1,600 juruteknik bertauliah daripada pelbagai industri, sekali gus membuktikan penerimaan yang baik terhadap pengiktirafan MBOT.”
Pada majlis ini, sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBOT dengan panel-panel Pakar Teknologi termasuk Petronas, Air Asia Academy, Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC), Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dan Association of Information Security Professionals (AISP) dari Singapura turut telah diadakan.
Kata MBOT, memorandum ini merangkumi pelbagai aspek kerjasama termasuk pembangunan pengiktirafan profesionalisme, inisiatif pembangunan kapasiti dan pembiayaan.