KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong semalam mengadakan kunjungan bersejarah ke pusat pekerja Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), sekali gus membuktikan yang beliau prihatin ke atas memelihara kepentingan dan kebajikan para pekerja.
Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, ini kali pertama seorang menteri pusat mengadakan lawatan ke UNI-MLC dan meluangkan masa untuk mengambil tahu isu-isu yang dihadapi oleh para pekerja.
“Dalam menunjukkan keprihatinan beliau ke atas kepentingan pekerja, beliau bukan sahaja telah melantik seorang aktivis sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas pada bulan lepas, malah beliau sendiri datang ke pejabat pergerakan kesatuan seperti UNI-MLC… malah yang menarik ia dilakukakan dalam tempoh singkat selepas dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia.
“Ini satu perkembangan yang positif, dan saya lihat sebagai langkah menghargai sumbangan pekerja dan usaha untuk menjaga kebajikan pekerja,” kata beliau kepada Workers Times.
Menurut beliau, bagi UNI-MLC ini kali pertama seorang menteri datang sendiri ke pejabat UNI-MLC untuk berkongsi dasar dan pendekatan beliau selaku Menteri Sumber Manusia, selain mendengar sendiri pandangan kepimpinan UNI-MLC untuk meningkatkan kualiti hidup para pekerja.
“Saya, bagi pihak UNI-MLC dan seluruh pekerja di negara ini, mengucapkan syabas dan penghargaan kepada Steven Sim atas kesudian beliau mengunjungi UNI-MLC. Ini satu pengiktirafan dan penghargaan ke atas sumbangan pekerja dan pusat pekerja seperti UNI-MLC,” kata Mohamed Shafie lagi.
Steven Sim yang tiba di pejabat UNI-MLC yang terletak di Bangsar, Kuala Lumpur pada pukul 11.30 pagi telah meluangkan masa hampir 90 minit untuk memahami dengan mendalam fungsi dan perjalanan UNI-MLC yang ditubuhkan pada tahun 2002.
Untuk rekod, sebagai tindakan awal, Steven Sim yang memperkenalkan falsafah 3K (iaitu Kebajikan, Kemahiran dan Keberhasilan) sejak menerajui Kementerian Sumber Manusia bulan Disember lalu, telah melantik Bendahari Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), Chee Yeeh Ceeu sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas (PTTK) beliau.
Sebelum ini, Steven Sim pernah berkata pelantikan itu adalah sebahagian daripada perancangan dan hala tuju menteri untuk Kementerian Sumber Manusia pada tahun 2024.
Steven Sim dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia awal bulan lepas di bawah rombakan Kabinet yang diumumkan.
Dalam ucapan sempena kunjungan ke pejabat UNI-MLC semalam, Steven Sim berkata, selari dengan pendekatannya memberi tumpuan kepada falsafah 3K, beliau memutuskan untuk mengadakan lawatan kerja ke UNI-MLC dan badan induk gerakan sekerja. Minggu lepas beliau telah mengunjungi CUEPACS, badan induk kesatuan sekerja sektor awam.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim menerima cenderamata daripada Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal. Bersama mereka Setiausaha Agung UNI-MLC, Mohd Effendy Abd Ghani.
“Saya percaya bahawa lawatan seperti ini boleh meningkatkan kerjasama dan hubungan antara Kementerian Sumber Manusia dan kesatuan sekerja yang mewakili pekerja.
“Kepentingan pekerja menjadi fokus saya di Kementerian. Saya percaya bahawa dengan hadir untuk bertemu pemimpin kesatuan sekerja, kita boleh mengeratkan hubungan untuk merangka rangka tindakan yang lebih baik untuk pekerja.
“Saya berharap kesatuan sekerja boleh memberikan pandangan dan input untuk membawa penambahbaikan,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam.
Mohamed Shafie dalam ucapan alu-aluannya telah menyenaraikan lima isu utama, antaranya agar mengaktifkan semula Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) yang sudah lama tidak mengadakan mesyuarat, kadar bayaran rendah yang diterima oleh pesara-pesara Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), memanjangkan peruntukan baharu Akta Kerja 1955 ke Sabah dan Sarawak, kelemahan berkaitan proses pengiktirafan kesatuan sekerja dan keengganan sesetengah majikan untuk membuat potongan yuran kesatuan sekerja.
Dalam pada itu, Mohamed Shafie juga berkata, Steven Sim telah mengumumkan bahawa peruntukan Geran Pembangunan Kesatuan Sekerja akan dinaikkan sekali ganda, dari RM10,000 kepada RM20,000 bagi memperkasakan gerakan kesatuan sekerja di negara ini.
Kata Mohamed Shafie, Menteri Sumber Manusia mahu kesatuan sekerja diberikan peruntukan yang lebih baik bagi membolehkan kesatuan sekerja-kesatuan sekerja mengadakan lebih banyak program yang boleh mengukuhkan perjalanan gerakan kesatuan sekerja.
“Keputusan menaikkan kadar geran kesatuan juga menunjukkan keprihatinan YB Steven Sim terhadap kebajikan pekerja dan pembangunan kesatuan sekerja,” kata Mohamed Shafie.