Larian Keluarga Malaysia 2024 di Cyberjaya 29 September ini

Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) buat julung kali akan menganjurkan Larian Keluarga Malaysia 2024 (LKM 2024) di Persiaran Flora, Cyberjaya pada 29 September ini.

KUALA LUMPUR: Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) buat julung kali akan menganjurkan Larian Keluarga Malaysia 2024 (LKM 2024) di Persiaran Flora, Cyberjaya pada 29 September ini.

Larian ini diadakan bagi mengumpul dana untuk memastikan anak-anak yatim yang kehilangan ibu, bapa atau ibu bapa atau penjaga akibat Pandemik COVID-19 akan terus mendapat pembelaan.

YKM memerlukan kira-kira RM5 juta setahun untuk meneruskan bantuan kepada hampir 1,000 anak-anak yatim dan yatim piatu melalui Bantuan Kasih YKM, Bantuan Persekolahan, Bantuan Menara Gading dan Hadiah Kecemerlangan Akademik termasuk pengurusan.

Pengerusi YKM, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, LKM 2024 telah mendapat sokongan yang amat baik daripada banyak pihak khususnya mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, yang kini secara rasmi adalah Duta LKM 2024.

“Pemilihan Saudara Khairy sebagai Duta LKM 2024 bertepatan dengan penglibatan beliau yang aktif dalam sukan larian dan maraton termasuk pengalaman sebagai Menteri Belia dan Sukan.

“Beliau juga memahami denyut nadi anak-anak ini kerana terlibat secara langsung dalam Kerajaan untuk menyelamatkan nyawa dan memastikan
kehidupan rakyat dapat diteruskan ketika Pandemik COVID-19 melanda,” kata beliau dalam satu kenyataan media.

Dalam masa sama, Podcast Keluar Sekejap yang diterajui oleh Khairy dan Shahril Hamdan juga akan menjadi Podcast rasmi LKM 2024.

Larian ini terbuka kepada semua dan terbahagi kepada tiga kategori dengan Harga promosi RM79 bagi kategori 21km (terbuka dan veteran), RM59 (10km terbuka dan veteran), dan RM39 bagi kategori lima km larian santai.

Pihak YKM menyasarkan penyertaan sebanyak 3,000 peserta khususnya golongan belia yang gemar kepada aktiviti larian dan gaya hidup sihat.

Orang ramai boleh melayari laman web rasmi YKM, https://yayasankeluargamalaysia.org.my/ atau laman web rasmi LKM 2024, https://lariankeluargamalaysia.com/ untuk pendaftaran dan hebahan
terbaharu mengenai larian ini.

Tarikh akhir pendaftaran LKM 2024 adalah pada 7 September 2024.

Kata beliau, YKM amat mengalu-alukan tajaan dan sokongan dalam pelbagai bentuk daripada semua pihak khususnya syarikat-syarikat korporat.

Setiap sumbangan yang diberikan kepada YKM dan LKM layak mendapat pengecualian cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

YKM berharap larian ini dapat mencapai sasaran dalam mengumpul dana seterusnya bantuan kepada anak-anak yatim di bawah tanggungan YKM dapat diteruskan.


siva is here1

siva is here