KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Industri Minuman Semenanjung Malaysia (NUDIW) turut menggesa kerajaan supaya menggantikan caruman yang telah dikeluarkan oleh para pencarum dari kalangan kumpulan B40 dan M40 sepanjang lebih setahun lalu.
Menyokong pendirian Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) yang menggesa Kerajaan memulangkan wang simpanan yang telah dikeluarkan oleh para pencarum dari kalangan kumpulan B40 dan M40 sepanjang lebih setahun lalu, Presiden NUDIW, Zulfakar Mohamed berkata, kerajaan tidak sewajarnya menggunakan simpanan dalam KWSP sebagai satu kaedah untuk melaksanakan pakej rangsangan ekonomi ketika pandemik Covid-19.
“Ia bukan merupakan satu langkah yang adil dan bijak,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Oleh itu, tegas Zulfakar, kerajaan wajar dan patut mengembalikan lebih RM100 bilion yang telah dikeluarkan secepat yang mungkin sebaik ekonomi negara pulih kembali.
Malah beliau, menjadi tanggungjawab kerajaan membantu rakyat yang berada dalam kesukaran ekoran krisis, termasuk kewangan dan kesihatan yang dilalui sekarang.
Pada Isnin lepas, NUBE menggesa kerajaan memulangkan wang dikeluarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)B40 dan M40 melalui i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra demi perlindungan ahli selepas persaraan.
Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata, majoriti 7.4 juta yang mengeluarkan caruman adalah ahli KWSP B40 dan M40 dan meskipun ia memberi manfaat kepada ekonomi dan perniagaan, namun menyebabkan simpanan persaraan ahli yang tidak berkemampuan semakin menyusut.
Zulfakar menambah, langkah membenarkan pengeluaran sehingga mengakibatkan para pencarum kekal berada dalam keadaan kitaran kemiskinan.
Katanya, sebagaimana Kerajaan memutuskan untuk mengembalikan wang yang digunakan untuk membeli vaksin, susulan tekanan dan desakan pelbagai pihak, dalam hal ini Kerajaan sepatutnya berbuat demikian demi masa depan para pencarum B40 dan M40.
Zulfakar berkata, difahamkan, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang membenarkan pengeluaran simpanan untuk gunaan waktu persaraan oleh para pencarum untuk dikeluarkan.
“Berdasarkan maklumat yang kami terima, ramai pencarum yang mengeluarkan simpanan mereka kini kecewa dan sedih dengan tindakan itu, yang terpaksa mereka lakukan ketika kemerosotan pendapatan,” kata beliau.
Katanya, pada hari ini ramai sudah sedar pentingnya simpadan KWSP kekal tidak disentuh demi masa persaraan kekal, sehingga bakal merugikan mereka apabila memasuki fasa persaraan nanti.
“Kami juga menggesa kerajaan melihat semua perkara ini selari dengan slogan Keluarga Malaysia, dan mengumumkan dasar menggantikan wang yang telah dikeluarkan.
“Kami berharap Kerajaan tidak akan mengulangi kesilapan besar seperti ini lagi,” kata beliau.