KUALA LUMPUR: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) memandang berat pandangan Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir minggu lalu, yang gusar mengenai risiko majoriti pencarum berkemungkinan menjalani hari tua dalam kemiskinan kerana pengeluaran akibat COVID-19 memburukkan keadaan menyebabkan jumlah simpanan mereka tidak mencukupi.
Sehubungan dengan itu, Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal menegaskan, skim I-Citra yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengurangkan masalah kewangan ketika COVID-19 perlu dihentikan dengan segera demi selamatkan masa depan para pencarum dari kumpulam B40.
“UNI-MLC simpati dengan keadaan pada masa depan para pekerja terutama apabila mencecah umur persaraan dan kedudukan simpanan yang rendah akan
menyebabkan kesukaran untuk menyara kehidupan selepas persaraan.
“Mengambil kira desakan dan kemahuan banyak pihak yang tidak mahu dan mendapati tidak wajar untuk membenarkan pengeluaran simpanan melalui I-Citra
KWSP kerana ia boleh mengancam pekerja menghadapi kehidupan selepas persaraan, maka UNI-MLC menggesa agar KWSP menghentikan dengan segera
skim I-Citra.
Kata Mohamed Shafie, kerajaan terutama Kementerian Kewangan perlu mengambil pendirian segera dalam perkara ini demi masa depan para pencarum.
Menjadi peranan dan tanggungjawab Kerajaan membantu pekerja-pekerja yang memerlukan sokongan kewangan, bukannya menyentuh simpanan hari persaraan
yang ada di dalam KWSP pada hari ini.
Minggu lalu, Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), J Solomon mendesak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menuntut kerajaan memulangkan wang yang dikeluarkan oleh ahli KWSP daripada kumpulan B40 dan M40 untuk menyokong pakej rangsangan kerajaan.
NUBE mengingatkan tujuan utama KWSP untuk melindungi simpanan persaraan pesara telah mula beralih.
Kata beliau, memandangkan kerajaan yang telah menyebabkan kemerosotan besar dalam simpanan persaraan pekerja B40 dan M40, melalui pakej rangsangannya, maka adalah wajar kerajaan menambah balik simpanan dengan memulangkan wang yang telah dikeluarkan.
Solomon berkata, kerajaan membuatkan pekerja mengeluarkan wang simpanan mereka untuk merangsang ekonomi melalui program seperti i-Lestari, i-Sinar, dan i-Citra.
Mengulas lanjut isu ini, Mohamed Shafie berkata, UNI-MLC bersetuju bahawa perkara ini bukan hanya memudaratkan kehidupan individu, tetapi landskap sosioekonomi negara dan fiskal kesihatannya juga mencabar.
“Pandangan sedemikian telah dikongsi oleh banyak pihak mengenai senario itu dan pada masa yang sama melahirkan kebimbangan mengenai jumlah simpanan para
ahli KWSP, terutama mereka dalam kalangan B40. UNI-MLC bersetuju dengan pendirian CEO KWSP itu.
Kata Mohamed Shafie, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa KWSP ditubuhkan di bawah satu akta yang diluluskan Parlimen demi menjaga kepentingan para pencarum KWSP selepas bersara.
“Kita tidak seharusnya mengambil tindakan dan keputusan yang bercanggah dengan matlamat Akta KWSP dan dasar-dasar penubuhan KWSP itu sendiri.
“Jika tidak, KWSP akan lari dari matlamat penubuhannya. Setiap badan berkanun berkaitan dengan sistem perburuhan dan pekerjaan ada tujuannya, dan ia harus
dipertahankan demi kebajikan dan perlindungan menyeluruh para pekerja pada hari ini dan pada masa depan,” kata beliau.
Oleh itu, kata beliau, pada hari ini negara menyaksikan kesannya, dengan kadar simpanan selepas beberapa siri pengeluaran KWSP, ekoran kemudahan yang dibenarkan di bawah pakej rancangan ekonomi bagi menangani impak pandemik COVID-19, telah menyebabkan simpanan pekerja menjadi terlalu kecil dengan ada pencarum hanya
ada sekitar RM1000.00. Ini satu perkembangan yang amat menyedihkan lagi membimbangkan.