KWSP: Mekanisme Akaun 3 dalam rangka, diumum akhir bulan ini

Tangkapan layar penerangan yang disiarkan menerusi laman sosial FB Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang memuktamadkan mekanisme Penstrukturan Semula Akaun yang melibatkan pengenalan Akaun Fleksibel, juga disebut sebagai “Akaun 3”.

Dalam satu hantaran yang diposkan di laman sosial Facebooknya, KWSP berkata, pihaknya berada atas garis masa yang ditetapkan dan akan mengumumkan perincian inisiatif penstrukturan semula akaun sebelum hujung April 2024.

“Ahli dinasihatkan untuk merujuk maklumat rasmi daripada KWSP berhubung inisiatif ini dari semasa ke semasa,” kata KWSP.

Pada Februari lalu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, KWSP dijangka mengumumkan inisiatif ‘Akaun Fleksibel’ atau Akaun 3 bulan ini yang merangkumi mekanisme serta kelonggaran pengeluaran kepada pencarum.

Beliau berkata, mekanisme mengenai Akaun 3 itu akan diperjelaskan kepada pencarum selepas KWSP mengumumkan agihan dividen pada Ahad ini.

“Mereka (KWSP) juga akan menyatakan dan menerangkan cara-cara pengeluaran, mekanisme yang ada di mana pemecahan akaun tiga akan diterangkan,” katanya.

Amir Hamzah berkata kerajaan tidak melihat kepada sebarang pengeluaran secara bersasar kerana ia akan memburukkan lagi isu ketidakcukupan simpanan persaraan.

“Kerajaan tidak melihat kepada pengeluaran bersasar kerana akan ada juga kelonggaran dalam Akaun 3 itu,” kata beliau.