KWSP: Kita tidak boleh terus populis guna jalan mudah, kata Menteri Kewangan

Isu pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah skim i-Citra terus menjadi polemik. – Foto ihsan KOSMO!

RENCANA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ditubuhkan pada 1951 sebagai tabung persaraan pekerja di Malaysia. Buat kali pertama pada 2020, kerajaan membenarkan program pengeluaran khas i-Lestari bagi membantu pencarum menangani kesan COVID-19. Ia kemudian disusuli dengan i-Sinar dan i-Citra.

Keizinan luar biasa ini diberi memandangkan adanya situasi luar jangkaan iaitu pandemik global yang juga melanda Malaysia. Namun, setelah beberapa kali pengeluaran diizinkan dan selepas lebih RM101 bilion disalurkan keluar daripada KWSP, cukuplah dibenarkan setakat itu sahaja

Hari ini, terdapat beberapa pihak yang lantang melobi untuk dibenarkan sekali lagi pengeluaran simpanan KWSP. Perlu saya ulangi, idea ini pertama sekali dicetuskan oleh kerajaan berdasarkan pertimbangan dan perkiraan yang rapi. Suara yang hari ini sibuk menghasut rakyat tidak terbabit sama sekali dalam perhitungan dan keputusan berkenaan. Mereka mengambil kesempatan mengeksploitasikan perkara ini sebagai modal untuk menyelar pihak KWSP dan kerajaan.

Caruman wajib pencarum dan majikan adalah asas sistem KWSP, amanah yang wajib dijaga oleh pihak KWSP dan kerajaan. Selama ini, pencarum memang dibenarkan membuat pengeluaran untuk keperluan tertentu seperti pembelian rumah kediaman dan kos perubatan melalui Akaun 2.

KWSP ditubuhkan dengan matlamat ‘untuk persediaan hari tua’ apabila kudrat sudah tiada untuk bekerja, justeru pengeluaran terutama Akaun 1 tidak boleh dibenarkan sewenang-wenangnya.

Malah, suatu hari nanti apabila Malaysia mencapai status negara tua pada 2030 (lapan tahun lagi), tanggungjawab kewangan negara yang akan melonjak bukan hanya dipikul oleh kerajaan, tetapi juga pembayar cukai pada masa hadapan.

Sememangnya adalah tanggungjawab kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat dalam masa panjang sambil memberi penyelesaian kepada cabaran semasa. Sebab itu juga pentadbiran sebelum ini begitu tegas menjaga amanah mereka berkenaan KWSP. Pada 2014 misalnya, beberapa negeri terutama Kelantan dan Pahang teruk dilanda banjir dengan jumlah isi rumah yang terkesan mencecah 300,000 dan ramai yang kehilangan harta termasuk rumah dan kenderaan.

Namun, kerajaan pada tahun ini tidak membenarkan pengeluaran KWSP walau satu sen pun kepada mangsa banjir yang hilang segalanya, sebaliknya guna kaedah lain bagi membantu mangsa. Kini, pendekatan yang sama diambil kerajaan bagi membantu rakyat menghadapi bencana banjir.

Wang persaraan tidak cukupi

Secara keseluruhan, banyak bantuan yang dihulurkan oleh kerajaan bagi menolong rakyat termasuk Bantuan Prihatin Rakyat (BPR); Bantuan Khas COVID-19 (BKC); Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP); Bantuan Wang Ihsan (BWI – bagi mangsa mangsa bencana); bantuan kebajikan bulanan; pembiayaan dengan kadar 0 peratus serta moratorium serta-merta selama enam bulan dan banyak lagi.

Sehubungan itu, ada beberapa fakta yang perlu kita akui isu wang persaraan yang tidak mencukupi wujud sebelum zaman COVID-19 lagi. Hakikatnya, hari ini hampir 50 peratus atau lebih 6 juta pencarum mempunyai baki caruman kurang daripada RM10,000. Pendek kata, pencarum seramai 6 juta ini tidak akan mendapat faedah pun jika dibenarkan pengeluaran tambahan i-Citra.

Menurut KWSP, pesara sepatutnya mempunyai sekurang-kurangnya RM240,000 semasa bersara. Jika mereka dijangka bersara selama 20 tahun, mereka hanya ada RM1,000 sebulan untuk sara hidup dan jika sakit, ubat-ubatan.

Cuba bayangkan jika mereka ada kurang daripada RM10,000 sekarang. Dijangka hampir 7 juta ahli akan mempunyai simpanan di bawah RM10,000 jika pengeluaran tambahan i-Citra dibenarkan.

Jika mereka dapat gandakan 10 kali pun sehingga RM100,000 semasa bersara (gandaan yang amat sukar untuk dicapai), mereka hanya ada RM500 untuk berbelanja. Lebih tragis lagi bagi hampir 4 juta pencarum yang simpanan di bawah RM1,000.

Kerajaan sudah benarkan banyak pengeluaran iaitu i- Lestari, i-Sinar dan i-Citra yang rata-rata ahli sudah mengeluarkan RM21,000 sehingga RM71,000 sejak tahun lalu. Secara keseluruhan, lebih 7 juta pencarum mengeluarkan lebih RM101 bilion.

Kira-kira 74 peratus pencarum yang mempunyai kurang RM10,000 dalam akaun adalah Bumiputera. Lebih membimbangkan, 79 peratus lagi daripada golongan ini ada simpanan kurang RM1,000. Kalau betul beberapa pihak ingin memperjuangkan nasib Bumiputera, terutama orang Melayu, walaupun sudah maklum ramai yang tidak mempunyai cukup simpanan, apakah niat dan tujuan sebenar memperjuangkan pengeluaran tambahan?

Wakil kesatuan pekerja pun tidak bersetuju. Lihat sahaja kenyataan persatuan yang mewakili pekerja seperti Kesatuan Nasional Pekerja Bank (NUBE); Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS); Kesatuan Pekerja-Pekerja Industri Minuman Semenanjung Malaysia (NUDIW); Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC). Mereka tidak bersetuju kerana memahami impak buruk pengeluaran tambahan kepada kebajikan hari tua pencarum.

Justeru rumusannya, KWSP memainkan peranan penting di pasaran saham dan bon tempatan untuk menjana pulangan dividen kepada ahli dan menyediakan kecairan bagi kedua-dua pasaran berkenaan.

Nilai pelaburan KWSP dalam pasaran saham tempatan adalah 16 peratus daripada nilai keseluruhan yang berjumlah lebih RM1.7 trilion. Nilai pelaburan KWSP dalam bon kerajaan pula adalah 26 peratus (atau RM247 bilion) daripada nilai keseluruhan RM950 bilion manakala, bagi bon korporat, KWSP memegang 21 peratus (atau RM166 bilion) daripada nilai keseluruhan RM791 bilion.

Sekiranya pengeluaran ini dibenarkan lagi, KWSP terpaksa menjual pegangan saham dan bon di luar dan dalam negara secara besar-besaran ketika keadaan pasaran yang tidak menentu; memberhentikan pelaburan dalam negara untuk tempoh tiga hingga enam bulan dan mengurangkan penyertaan dalam pasaran domestik buat sementara waktu.

Langkah ini akan memberi impak negatif kepada pasaran saham dan bon tempatan kerana peranan KWSP sebagai penyedia kecairan juga akan terjejas, selain mengekang keupayaannya untuk menjana pulangan dividen. Apabila kecairan berkurangan, ia berpotensi menjejaskan keyakinan pelabur lain yang akan turut serta menjual pegangan mereka, lantas mengurangkan lagi kecairan di pasaran.

Kesan sistemik (systemic repercussions) ini bukan sahaja akan menjejaskan pulangan semua ahli KSWP, malah penyimpan lain yang bergantung kepada pulangan daripada pegangan saham dan bon tempatan seperti ahli Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) serta pelabur skim Amanah Saham yang diurus oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) juga ahli Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Secara keseluruhan, ini akan memberikan impak negatif antaranya dari segi peningkatan kos pembiayaan bagi kerajaan, syarikat swasta dan juga berpotensi menyebabkan ketidakstabilan pasaran kewangan negara.

Tambahan lagi, situasi ini secara tidak langsung sudah pun menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan ahli yang ingin terus mengekalkan simpanan mereka di dalam KWSP. Buat masa ini, terdapat sejumlah lebih RM270 bilion simpanan di KWSP yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa oleh ahli yang berumur lebih 55 tahun dan tidak lagi tertakluk kepada syarat pengeluaran.

Seperti yang saya sebutkan berulang kali, dalam keadaan ekonomi yang semakin pulih, kerajaan tetap akan membantu rakyat melalui strategi yang pelbagai dan berbeza, seperti BPR, BKC, BKP,

Namun, dalam hal KWSP ini, kita tidak boleh terus populis dengan sekali lagi mencari jalan mudah membenarkan pengeluaran tambahan lebih-lebih lagi bila kerajaan sudah menyediakan satu pakej bantuan banjir yang paling tinggi dalam sejarah. Fikirkanlah kesan jangka panjang terutama kepada anak dan cucu kita yang bakal mewarisi beban menampung kehidupan warga tua negara yang tidak mampu menanggung persaraan mereka sendiri.

  • Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz merupakan Menteri Kewangan Malaysia