KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terus mencipta sejarah apabila mengutip sebanyak RM183.3 bilion cukai pada tahun 2023, sekali gus melepasi sasaran RM176 bilion.
Kutipan tahun lalu mencatatkan peningkatan sebanyak RM7.8 bilion atau 4.49 peratus berbanding tahun 2022.
LHDN meletakkan sasaran kutipan cukai RM197 bilion bagi tahun 2024.
“Saya bagi pihak LHDN ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pembayar cukai yang gigih menyumbang kepada hasil negara dan memikul tanggungjawab sebagai pembayar cukai.
“Tidak dinafikan, setiap ringgit yang disumbangkan oleh rakyat kita adalah tidak ternilai dalam memastikan pertumbuhan dan kesejahteraan negara tercinta,” kata Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin pada taklimat media di sini.
Kutipan cukai oleh LHDN pada 2022 berjumlah RM175 bilion, berbanding RM144 bilion tahun sebelumnya.
Sementara itu, menurut Abu Tariq, pihaknya telah menerima 64,748 kes pengisytiharan sukarela yang melibatkan bayaran cukai RM573.476 juta menerusi program pendedahan sukarela khas (SVDP) setakat 31 Januari lalu.
Program SVDP 2.0 bermula pada 6 Jun 2023 dan akan berakhir pada 31 Mei tahun ini.
Sehubungan dengan itu, Abu Tariq menasihatkan para pembayar cukai untuk mengambil bahagian dalam program itu bagi memastikan semua pendedahan yang dibuat akan dikecualikan daripada penalti.
“Ini berbeza dengan SVDP 1.0 yang berjaya mengutip RM7.88 bilion cukai, cukai tambahan dan penalti antara November 2018 dan September 2019.
“Tiada juga audit atau penyiasatan akan dijalankan ke atas pembayar cukai yang mengambil bahagian dalam program untuk tahun taksiran ke hadapan mereka,” kata beliau lagi.
Poster Program Khas Pengakuan Sukarela 2.0 Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). – Foto ihsan LHDN