KUALA LUMPUR: Kumpulan pertama Program Kerjaya Hospitaliti, yang ditawarkan di bawah kerjasama Vanakkam Malaysia dan DHS Hospitality Academy, mengikuti latihan selama lima hari bermula semalam.
Seramai sembilan peserta terbabit akan menamatkan latihan mereka sebelum dipilih untuk menjalani program sangkutan selama enam bulan dalam Industri Perkhidmatan Makanan di Singapura.
Vanakkam Malaysia, portal bahasa Tamil terkemuka di Malaysia dan DHS bekerjasama untuk menawarkan program penempatan pekerjaan di Singapura untuk belia dari Malaysia.
Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani pada 20 Mac lalu di antara Vanakkam Malaysia dan Kumpulan DHS Hospitality Academy. Vanakkam Malaysia diwakili oleh Pengarah Urusannya, Thiagarajan Muthusamy manakala Kumpulan DHS Hospitality Academy oleh Pengarahnya, Dr Sri Kumar sambil disaksikan Pengurus Besar UPM Education and Training Sdn Bhd, Dr Mohd Kamil Yusoff.
Program ini telah menarik sembilan calon berumur antara 18 hingga 22 tahun dari seluruh negara.
Sri Kumar berkata, yuran program 90 peratus ditaja oleh Persatuan Sumber Manusia Hospitaliti ASIA.
Katanya, program ini diuruskan bersama oleh Akademi Hospitaliti DHS dan SG Quest dari Singapura.
Sri Kumar yang mengendalikan program lima hari ini berkata, program itu dibawakan khas oleh Vanakkam Malaysia untuk belia di Malaysia terutama golongan belia India.
“Program ini merupakan program pragmatik yang membolehkan para pelatih merasai pengalaman Industri Perkhidmatan Makanan di Singapura dan akhirnya mencari kerjaya dalam Industri Perkhidmatan Makanan,” kata beliau kepada Workers Times.
Kata beliau, hospitaliti telah menjadi tabu dalam kalangan masyarakat kerana kebanyakan belia India berminat untuk menjalankan program profesional seperti undang-undang, kejuruteraan, perubatan, dan disiplin lain yang nampaknya boleh diterima oleh persekitaran sosiologi mereka.
“Masyarakat menganggap profesion dalam hospitaliti tidak membayar dengan baik, pekerjaan fizikalnya, masa yang panjang dan profesion yang merendahkan maruah.
“Pada masa yang sama, industri berasa hairan mengapa industri ini kekurangan pekerja sedangkan hospitaliti merupakan antara kursus yang paling dicari di universiti dan institusi pengajian tinggi.
“Soalan saya ialah: ke mana perginya semua graduan hospitaliti? Saya pasti kita mempunyai graduan, tetapi mengapa mereka tidak berada di pasaran mencari pekerjaan?” kata beliau.
Sri Kumar yakin bahawa susulan kumpulan pertama ini lebih ramai akan tampil untuk mengikuti program latihan ini.
“Vanakkam Malaysia sedang mengaturkan program kesedaran untuk golongan beliau mengikuti program ini,” kata beliau.
Katanya, program Kerjaya Hospitaliti DHS Vanakkam Malaysia adalah satu inisiatif untuk membantu belia India meneroka dan mencari kerjaya dalam industri hospitali dengan menjalani latihan selama enam bulan di Singapura yang disediakan dengan penginapan, elaun bulanan, makan bertugas, insurans, dan kelulusan daripada Kementerian Tenaga Kerja Singapura.
Rakan strategik untuk program ini ialah UPM Education & Training dan program ini dijalankan di premis UPMET di sini.
Mereka yang berminat untuk mengikuti Program Kerjaya Hospitaliti Vanakkam Malaysia-DHS ini boleh menghubungi Vanakkam Malaysia di talian 010-218-1772.