KSN: 3 kaedah bayaran bantuan wang ihsan mangsa banjir

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mempengerusikan mesyuarat pertama Task Force Pengurusan Pasca Banjir dan Kesiapsiagaan Menghadapi Gelombang Kedua Bencana Banjir. Foto ihsan FB KSN

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan peruntukan bantuan wang ihsan (BWI) telah disalurkan kepada negeri terjejas banjir dan ia akan disampaikan kepada penerima melalui tiga kaedah.

Tiga kaedah itu terdiri daripada serahan tunai di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), serahan tunai rumah ke rumah dan pindahan tunai secara dalam talian (EFT).

Dalam kenyataan dikeluarkan selepas mesyuarat pertama Task Force Pengurusan Pasca Banjir dan Kesiapsiagaan Menghadapi Gelombang Kedua Bencana Banjir, beliau berkata, kaedah-kaedah itu dilaksanakan untuk memudahkan urusan penyaluran BWI kepada mangsa dengan lebih efektif dan pantas, dengan hanya pengesahan oleh Ketua Komuniti yang dipertanggungjawabkan tanpa perlu mengisi sebarang borang permohonan.

Mohd Zuki berkata, ia adalah antara perkara diputuskan dalam mesyuarat Task Force Pengurusan Pasca Banjir dan Kesiapsiagaan Menghadapi Gelombang Kedua Bencana Banjir semalam.

Kata beliau, BWI sebanyak RM1,000 untuk ketua isi rumah (KIR) dan RM10,000 untuk waris mangsa bencana yang meninggal dunia telah disalurkan kepada pihak negeri dan ia diselaraskan di peringkat PKOB dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

Menurutnya, kerajaan memperuntukkan RM34 juta untuk disalurkan kepada 34,000 KIR di negeri-negeri yang terjejas banjir dan mula dibayar pada hari ini.

“Jumlah anggaran ini adalah berdasarkan maklumat KIR yang berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS). Usaha mengenal pasti mangsa yang tidak berdaftar sedang giat dilaksanakan oleh PKOB dan ICU untuk memastikan bantuan dapat disalurkan segera,” kata beliau lagi.

Mohd Zuki berkata, mesyuarat hari ini memutuskan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengatur gerak sinergi aset-aset kerajaan dan keperluan aset daripada pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu bagi pengurusan pembersihan pascabanjir.

Kata beliau, usaha itu akan dibantu secara langsung oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air, khususnya menerusi penyediaan stesen pemindahan sisa pepejal sementara yang dikenal pasti di kawasan terdekat dengan kawasan terjejas banjir secara transit.

Malah menurut beliau, polis pula akan membantu memastikan kelancaran laluan jentera pembersihan untuk mempercepatkan penghantaran sisa pepejal pembersihan ke stesen yang ditetapkan.

Jelas beliau, mesyuarat juga memutuskan supaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyelaras pembahagian kawasan angkat terjejas banjir kepada semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

“JPA juga menyelaras usaha mobilisasi anggota perkhidmatan awam bagi membantu kerja-kerja pembersihan dan kemanusiaan,” katanya.