Krisis kepimpinan MTUC: Keputusan gantung presiden tak sah, kedudukan setiausaha agung terbatal

Mohd Effendy Abdul Ghani (kiri) dan Kamarul Baharin Mansor yang dipilih sebagai Presiden dan Setiausaha Agung MTUC pada 3 Julai 2022 berhadapan dengan krisis kepimpinan, selain keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan pemilihan mereka sebagai tidak sah.

Oleh Jawatankuasa Kerja Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)

PANDANGAN: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) ingin menzahirkan pendirian dan tindakan terkini berhubung arahan perundangan yang berkaitan dengan organisasi ini, susulan perintah Mahkamah Tinggi Malaya di Shah Alam.

Pada 27 September 2023, Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan perintah yang membenarkan pegawai-pegawai utama semasa MTUC untuk meneruskan pengendalian urusan pentadbiran harian sehingga rayuan yang sedang berjalan di Mahkamah Rayuan diselesaikan. Keputusan ini menetapkan bahawa tiada sebarang perubahan terhadap dasar-dasar MTUC boleh dibuat selagi proses rayuan tersebut belum selesai.

Jabatan Pertubuhan Pendaftaran (ROS) telah memaklumkan bahawa keputusan yang dibuat oleh Ahli Majlis AM untuk menggantung Mohd Effendy Abdul Ghani sebagai Presiden MTUC adalah tidak sah di sisi undang-undang. Ini kerana keputusan tersebut melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh perintah Mahkamah Tinggi.

Tindakan itu juga tidak selari dengan peruntukan undang-undang dan menunjukkan ketidakpatuhan terhadap keputusan mahkamah yang telah dikeluarkan. Justeru itu, MTUC telah dimaklumkan oleh Ris untuk mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk memastikan semua pihak mematuhi arahan mahkamah dengan sepenuhnya.

Oleh yang demikian, tindakan Timbalan Presiden MTUC, Matkar Siwang menggunakan jawatan pemangku presiden adalah tidak wajar memandangkan Mohd Effendy masih merupakan Presiden MTUC yang sah sehingga pemilihan yang akan datang.

Salinan surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia mengenai status kedudukan presiden dan setiausaha agung MTUC.

Status kedudukan Setiausaha Agung MTUC

Selain itu, MTUC juga menerima notis pemakluman daripada Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) bertarikh 10 Mei 2024, yang menyatakan bahawa Kamarul Baharin Mansor bukan lagi seorang pekerja yang layak untuk menganggotai MTUC.

Status keanggotaan beliau sebagai Setiausaha Agung juga telah terbatal secara rasmi berdasarkan pemakluman daripada JHEKS yang telah dimaklumkan oleh RoS melalui surat pemakluman tambahan yang bertarikh 20 Mei 2024 dan 16 Ogos 2024 yang telah dikeluarkan untuk mengesahkan perkara ini.

Berdasarkan surat pengesahan daripada ROS, tiada komunikasi rasmi menggunakan jawatan Setiausaha Agung boleh dilakukan kerana terdapat kekosongan pada jawatan tersebut.

Selaras dengan pemakluman perintah mahkamah, pengisian kekosongan jawatan yang kini dikosongkan atau yang telah dibatalkan keahliannya adalah tidak dibenarkan.

Sebarang usaha untuk mengisi mana-mana jawatan pada waktu ini dianggap sebagai keputusan dasar yang melanggar perintah mahkamah tersebut. Sementara menunggu arahan atau nasihat lanjut daripada pihak berkuasa yang berkenaan, Presiden bersama Jawatankuasa yang diberi kuasa akan menjalankan tugas-tugas yang pentadbiran MTUC.

Langkah-langkah usulan MTUC

MTUC kini sedang meneliti dan mengambil tindakan susulan yang wajar bagi memastikan semua keputusan yang diambil adalah selaras dengan perlembagaan MTUC dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Kami juga ingin menegaskan bahawa segala tindakan yang diambil bertujuan untuk mengekalkan integriti organisasi ini serta memastikan hak dan kebajikan ahli-ahli MTUC terus diperjuangkan. MTUC akan berusaha secepat mungkin untuk mengadakan pemilihan baru bagi membolehkan organisasi ini kembali ke landasan yang betul setelah kes di Mahkamah Rayuan diselesaikan nanti.

Oleh yang demikian, semua komunikasi, jemputan, atau apa-apa kenyataan rasmi hendaklah melalui Mohd Effendy selaku Presiden MTUC yang sah sehingga pemilihan baharu dilaksanakan. Ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang salah faham dan kekeliruan pada masa akan datang.

MTUC berpegang teguh kepada prinsip ketelusan, akauntabiliti, keluhuran perlembagaan dan mematuhi setiap perintah mahkamah.

Kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menyelesaikan isu ini dengan adil dan profesional, demi menjaga kepentingan seluruh ahli kesatuan di Malaysia.

Dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kerja Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)