KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan memberi fokus terhadap 2.2 peratus daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam yang dikesan tidak mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 setakat 19 Ogos lepas.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, susulan itu pihaknya akan mengemukakan nama-nama berkenaan kepada ketua jabatan masing-masing bagi mengetahui isu sebenar untuk tindakan selanjutnya.
“Selepas kita buat pemadanan data di aplikasi MySejahtera dengan data penjawat awam, kita dapati daripada lebih sejuta penjawat awam, cuma 2.2 peratus yang kita tak dapat kesan mendaftar di aplikasi itu untuk mendapatkan vaksin,” kata beliau dipetik BERNAMA selepas meninjau program
Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) anjuran Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada kira-kira 400 masyarakat India di Port Dickson, hari ini.
Setakat 19 Ogos lalu, 74 peratus penjawat awam telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 manakala 17.8 peratus lagi menerima satu dos.
Kata beliau, JPA juga telah meminta Kementerian Kesihatan agar menyegerakan pemvaksinan kepada 30,000 penjawat awam yang masih belum ada tarikh janji temu sebelum pembukaan semua sektor ekonomi di negara ini.
Pada masa yang sama, beliau berkata, semua penjawat awam kini telah bersedia untuk kembali ke pejabat dan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat sekali gus mengembalikan semula ekonomi negara seperti sedia kala.
“Bagi mereka yang bekerja dari rumah pula, kita sarankan untuk sentiasa mengekalkan produktiviti malah perlu jadi lebih baik biarpun berdepan pelbagai kekangan termasuk masalah capaian internet,” kata beliau.