KUALA LUMPUR: Koperasi Cuepacs Berhad menyambut ulang tahun jubli emas dengan matlamat akan terus memberi manfaat kepada ahlinya.
Pengerusi Koperasi Cuepacs, A.H. Ponniah berkata, ia merupakan koperasi pertama daripada sejumlah tujuh buah koperasi pekerja yang ditubuhkan secara langsung oleh kesatuan sekerja.
“Kelahiran Koperasi Cuepacs ini adalah hasil keputusan Konvensyen Kesatuan Sekerja Cuepacs pada tahun 1970, untuk menubuhkan satu koperasi dengan matlamat utama untuk menyelesaikan masalah pemilikan rumah pekerja perkhidmatan awam.
“Koperasi Cuepacs pada masa penubuhannya berpegang teguh dengan resolusi Cuepacs untuk meneruskan aktiviti perumahan bagi merealisasikan matlamat pemilikan rumah pekerja sektor awam dan sememangnya berjaya,” kata beliau.
Koperasi Cuepacs ditubuhkan pada tahun 1971.
Beliau berkata demikian dalam buku cenderamata sempena sambutan jubli emas Koperasi Cuepacs. Majlis sambutan diadakan semalam, 27 Mei.
Kata beliau, semua anggota Koperasi Cuepacs termasuk anggota baharu dan lama bolehlah berbangga dengan kejayaan yang dikecapi oleh gerakan itu dalam projek perumahan.
“… yang bukan sahaja memberi manfaatkepada anggota koperasi, tetapi turut memberi faedah kepada kakitangan perkhidmatan awam pada keseluruhannya,” kata beliau.
Tambah beliau, menyedari kesukaran yang dilalui oleh kakitangan kerajaan, Koperasi Cuepacs melancarkan projek perumahan dengan kemudahan-kemudahan yang tidak membebankan mereka.
“Sebagai langkah pertama, mereka hanya telah diwajibkan sejumlah kecil bayaran dan pemilikan tapak perumahan.
“Anggota-anggota tersebut kemudiannya diberi masa, ruang dan peluang untuk mendapatkan pinjaman dan membayar kos pembangunan rumah.
“Pendekatan koperasi telah memudahkan kakitangan sektor awam untuk memiliki dan mendiami rumah mereka sendiri dengan selesa dan gembira,” kata beliau.
Ponniah, bekas Setiausaha Agung Cuepacs berkata, pemimpin Koperasi Cuepacs yang juga pemimpin kesatuan sekerja mempunyai kesedaran dan pengetahuan dalam pembangunan perumahan serta kos terlibat, telah juga mengikhtiarkan serta berjaya meyakinkan kerajaan untuk terus meningkatkan kelayakan pinjaman perumahan kakitangan awam bagi membolehkan pemilikan rumah pilihan mereka.
Ponniah berkata, ini membuktikan penglibatan Koperasi Cuepacs dalam bidang perumahan telah menjadi ‘turning point’ pemilikan rumah pekerja sektor awam kerana pemilikan rumah sebelum persaraan kini telah menjadi satu kenyataan.
“Anggota-anggota Koperasi Cuepacs bolehlah berbangga dengan sumbangan koperasi dan menerusi koperasi telah bersama-sama mengecapi kejayaan cemerlang, yang jauh melebihi perancangan awal,” kata beliau.
Majlis sambutan disempurnakan oleh Timbalan Menteri at Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, K. Saraswathy.