Komitmen 100 hari pertama PM baharu

Senarai anggota menteri dan timbalan menteri yang diumumkan semalam. – Sumber BH

KRISIS politik yang berlarutan hampir satu bulan telah melabuhkan tirai dengan pelantikan Perdana Menteri yang baharu dan seterusnya pembentukan kabinet, yang merupakan satu keperluan wajib selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Barisan Jemaah Menteri yang terdiri daripada 70 orang (seorang perdana menteri, 31 menteri dan 38 timbalan menteri), yang dinanti-nantikan sudah diketahui umum.

Kini masa untuk barisan anggota kabinet memulakan tugas apabila mengangkat sumpah pada Isnin ini.

Sekarang merupakan masa untuk melaksanakan amanah yang diberikan, sekali gus membawa kita keluar dari tiga krisis besar, iaitu kesihatan, ekonomi dan politik. Meskipun pelbagai reaksi diketengahkan, oleh rakyat semua peringkat, penganalisis, parti-parti politik, tidak kira dalam kerajaan mahupun pembangkang, dan pihak industri serta pemerhati antarabangsa, apa yang penting adalah menteri dan timbalan menteri yang dilantik, sama ada wajah baharu atau yang dikekalkan dan kembali dilantik, mempunyai tanggungjawab yang amat berat untuk ditunaikan demi rakyat dan negara.

Ketika mengumumkan pembentukan barisan kabinetnya, Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, “saya akan memastikan barisan kabinet komited menjayakan agenda negara, melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.”

Dalam menggariskan justifikasi berhubung pelantikan barisan anggota menteri dan timbalan menterinya, Ismail Sabri menjelaskan, ia merupakan satu kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan, dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur. Sudah pasti Ismail Sabri mempunyai pertimbangan sendiri dalam menentukan barisan yang boleh berkhidmat sebagai pasukan beliau, dan seterusnya membawa sumbangan kepada rakyat dan negara. Detik-detik untuk anggota barisan terbaharu menunaikan keyakinan dan kepercayaan Ismail Sabri perlu dimulakan sekarang dengan segera.

Ismail Sabri mengekalkan sekitar 80 peratus anggota yang pernah menganggotai Jemaah Menteri di bawah kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah meletakkan jawatannya pada 16 Ogos lalu selepas 17 bulan berkhidmat. Sebagaimana disebutkan oleh Perdana Menteri, bagi mendepani cabaran semasa, barisan kabinet beliau berorientasikan hasil yang berlandaskan kepada tiga prinsip, iaitu “peka dengan keperluan semasa bertanggungjawab dan amanah, dan mengembalikan semula keyakinan rakyat.”

Lima orang menteri merupakan muka baharu. Mereka terdiri daripada Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad. Ahmad Faizal, bekas Menteri Besar Perak, yang juga Ahli Parlimen Tambun, dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan manakala Idris, bekas Ahli Parlimen Bukit Gantang, akan berperanan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Kira-kira dua minggu sebelum Muhyiddin meletakkan jawatan, Ahmad Faizal dilantik sebagai penasihat khas bertaraf menteri. Kabinet kali ini juga menyaksikan tiga bekas menteri era Barisan Nasional kembali, iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim yang dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Noh Omar (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan Datuk Seri Mahadzir Khalid (Menteri Pembangunan Luar Bandar). Selain itu, anak bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, Yamani Hafez Musa yang juga Ahli Parlimen Sipitang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan II. Ahli Parlimen Kimanis, juga dari Sabah, Datuk Mohamad Alamin akan bertindak sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II), Datuk Seri Ti Lian Ker (Timbalan Menteri Belia dan Sukan), Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (Timbalan Menteri Pertanian II) dan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias (Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan).

Lima menteri dalam kerajaan sebelum ini digugurkan, antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Datuk Seri Redzuan Yusof (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Datuk Dr Khairuddin Aman Razali (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi). Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang meletakkan jawatan awal bulan ini tidak dilantik semula. Ismail Sabri membawa kembali Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, yang turut melepaskan jawatan awal bulan ini, untuk terus menerajui Kementerian Pengajian Tinggi. Sementara itu, dua timbalan menteri juga tidak dilantik semula, iaitu Datuk Abdul Rahim Bakri (Timbalan Menteri Kewangan) dan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan).

Menurut Perdana Menteri, barisan kabinet beliau akan mengambil pendekatan baharu yang bersifat lebih terbuka, dengan menyantuni aspirasi Keluarga Malaysia melalui penyampaian perkhidmatan dan maklumat yang lebih efisien. “Saya juga akui keadaan ekonomi negara perlu dipulihkan segera.” Sehubungan itu, barisan kabinet dan kementerian perlu dipastikan berupaya menggalas tanggungjawab ini dengan komited dan lebih proaktif.
Selepas hampir dua tahun dihimpit krisis kesihatan paling buruk, di dunia dan di Malaysia, rakyat amat mengharapkan perubahan menyeluruh dalam beberapa bulan akan datang. Meskipun pandemik COVID-19 bukan hanya isu membabitkan Malaysia, sebaliknya berkait rapat dengan seluruh dunia, pembaharuan dasar dan pendekatan bagi menangani cabaran yang dialami rakyat, perlu diutamakan oleh kabinet terbahru ini selari dengan slogan “Keluarga Malaysia” yang diumumkan Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri yang kesembilan.

Beliau telah menetapkan kad laporan kemajuan dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi para menteri. Mereka diberikan 100 hari untuk menggariskan perancangan jangka pendek dan panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan. Katanya, “saya akan pastikan kabinet ini menekankan budaya kerja berprestasi tinggi.” Ujar beliau, “oleh itu, marilah kita menggembleng segala usaha dan daya serta bekerja bersama rakyat dalam misi memulihkan negara. Namun, kabinet saya tidak boleh bekerja bersendirian. Kami memerlukan dukungan semua penjawat awam dan seluruh Keluarga Malaysia.”

Kabinet Ismail Sabri mempunyai tugas yang amat berat dalam menentukan pendekatan inklusif diutamakan dan melibatkan keterlibatan setiap rakyat dalam menyelesaikan kesemua krisis di depan kita. Ini kali pertama rakyat disajikan dengan tiga barisan Jemaah Menteri selepas satu pilihan raya umum. Dipercayai ini merupakan barisan kabinet terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-15. Oleh itu, ia mempunyai tugas dan tanggungjawab yang amat penting dalam memenuhi harapan dan keperluan rakyat.

Kabinet tidak mempunyai masa yang panjang untuk bertindak dengan efektif, pada masa yang sama memenuhi visi yang dibentangkan oleh Ismail Sabri.