Khairy: Tidak wajib, tapi akan ‘susahkan hidup’ mereka tolak vaksin

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan komited untuk terus menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menerima vaksin malah akan ‘menyusahkan’ kehidupan harian golongan antivaksin jika mereka terus menolak penerimaan vaksin.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, walaupun vaksin tidak diwajibkan namun kerajaan tidak akan memberi muka kepada golongan anti-vaksin kerana mereka sendiri memilih untuk menolak vaksin.

“Kita mungkin tidak akan melaksanakan satu undang-undang Persekutuan iaitu mewajibkan di peringkat negara tetapi saya menggalakkan adalah undang-undang sektoral.

“Mungkin berbunyi sedikit kasar tetapi pendekatan kita juga adalah untuk ‘menyusahkan’ hidup mereka yang memilih untuk tidak menerima vaksin.

“Ini adalah kerana anda sendiri memilih untuk tidak menerima vaksin melainkan anda tidak boleh menerima vaksin atas faktor kesihatan dan dikecualikan juga dalam sistem MySejahtera tetapi jika sebaliknya, maka memang kami akan susahkan hidup anda,” kata beliau dipetik Utusan Malaysia.

Khairy turut menegaskan, Kementerian Kesihatan berkemungkinan mewajibkan golongan yang menolak atau melengahkan pengambilan vaksin untuk menjalankan ujian calit Covid-19 secara mingguan dan kerajaan tidak akan menanggung perbelanjaan itu.

Setakat ini, golongan yang belum menerima vaksin tidak boleh makan di restoran dan masih tidak boleh memasuki pusat beli-belah. Dijangkakan lebih banyak batasan yang akan ditetapkan kemudian.

Menurut Khairy, pihaknya tidak mahu hanya fokuskan pada sektor pendidikan tetapi juga untuk sektor awam keseluruhannya.

“Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam telah mengeluarkan pekeliling iaitu pada November nanti adalah wajib untuk penjawat awam divaksinasi. Kita juga menggalakkan perkara ini untuk syarikat swasta,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan belum memutuskan untuk mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19.

Kata beliau, cadangan tersebut masih di peringkat kajian sebelum diputuskan Kabinet sama ada terdapat keperluan untuk mewajibkan vaksin berkenaan atau sebaliknya.

Bagaimanapun, beliau dalam masa yang sama menggesa dan memberi galakan kepada semua pihak mendapatkan suntikan tersebut bagi menikmati pelbagai keistimewaan sebagai penerima lengkap vaksin.

“Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman sudah mengeluarkan arahan kepada kakitangan kerajaan untuk mengambil vaksin, kalau tidak, tindakan akan dikenakan. Begitu juga Kementerian Pertahanan yang sudah keluarkan arahan kepada mereka yang tidak mengambil vaksin dianggap melanggar arahan kementerian.

“Malah urusan lain seperti umrah juga diwajibkan Kerajaan Arab Saudi dan kita jangka syarat yang sama juga diwajibkan bagi mereka yang ingin mengerjakan haji,” kata beliau semalam.

Kata Ismail Sabri, tindakan tegas wajar dikenakan kepada kumpulan antivaksin dan kerajaan berpegang kepada prinsip melindungi kelompok majoriti berbanding kelompok kecil.

“Lebih kurang satu peratus sahaja yang tidak mahu divaksin .Kita berpegang prinsip untuk melindungi majoriti kelompok.

“Antivaksin yang menyebarkan cerita tidak betul, fitnah dan berita palsu akan dikenakan tindakan. Tindakan bukan dikenakan sebab mereka antivaksin, tetapi kerana mereka sebar berita palsu,” jelasnya.