Khairussaleh Ramli letak jawatan CEO RHB kuat kuasa 25 Mac

Datuk Khairussaleh Ramli telah mengemukakan peletakan jawatannya sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking.

KUALA LUMPUR: Datuk Khairussaleh Ramli telah mengemukakan peletakan jawatannya sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking (GCEO) berkuat kuasa 25 Mac 2022.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, RHB Banking Group berkata, Khairussaleh, 54, meletakkan jawatannya untuk menyertai peluang lain

RHB Banking Group dalam satu kenyataan berasingan berkata, ia telah memulakan pelan peralihannya dan proses pemilihan sedang berjalan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Perbankan Borong Kumpulan, Mohd Rashid Mohamad telah dilantik sebagai pegawai yang bertanggungjawab atau pegawai utama kumpulan.

“Lembaga dan pihak pengurusan ingin merakamkan penghargaan kepada Khairussaleh bagi sumbangan yang tidak ternilai semasa tempohnya dengan kumpulan dan berharap beliau berjaya dalam masa depannya,” kata bank itu.

Khairussaleh menyertai RHB Banking Group pada 2013 sebagai Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan sebelum beliau dinaikkan pangkat ke jawatan GCEO menjelang 2015.