Ketua Perangkawan: 1.9 juta rumah tidak didiami, boleh bantu rakyat belum ada tempat kediaman

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin. – Foto ihsan Astro Awani

KUALA LUMPUR: Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan 1.9 juta daripada 9.6 juta kediaman di seluruh negara tidak didiami, dan jika diuruskan dengan teratur boleh membantu mereka yang masih belum memiliki tempat kediaman.

Penemuan itu berdasarkan Banci Malaysia 2020.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan sebanyak 700,000 kediaman tidak berpenghuni, daripada 1.2 juta kediaman pada 2010.

“Di Malaysia keseluruhan kita ada 1.9 juta rumah tidak didiamiā€¦ di Pahang saja ada 86,495 rumah yang kosong iaitu 18 peratus daripada keseluruhan tempat kediaman 458,972.

“Di Melaka, hampir 30 peratus lebih tempat kediaman kosongā€¦ antara lainnya (faktor) mungkin tempat kediaman itu baru siap, banyak dibeli tapi tidak didiami sepenuhnya digunakan untuk rumah rumah singgah dan sebagainya,” kata beliau, dipetik Astro Awani, selepas menghadiri Program Jelajah Banci Malaysia: Pahang Bersama Media di Kuantan.

Menurut Mohd Uzir, statistik itu menunjukkan banyak rumah kosong yang tidak didiami dan ia sebenarnya boleh membantu masyarakat yang belum memiliki rumah.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, Bancian Malaysia 2020 juga merekodkan penduduk negara ini berjumlah 32.4 juta orang dengan 17 juta adalah golongan lelaki manakala 15.5 juta pula wanita.

Mohd Uzir turut berkongsi mengenai portal ‘KAWASANKU’ yang baru dibangunkan oleh pihaknya dalam usaha mendekatkan masyarakat dengan data negara dalam bentuk statistik.

“Informasi ‘KAWASANKU’ yang boleh diakses itu mengandungi maklumat berkaitan profil demografi penduduk berdasarkan penemuan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020.

“Laman web ‘KAWASANKU’ boleh diakses di https://kawasanku.dosm.gov.my,” katanya.