Oleh Jasrul Hisham Jamaludin
PANDANGAN: Kesatuan Percantuman Pekerja-pekerja Tenaga Nasional Berhad (KPPPTNB) mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong kerana sudi berkunjung ke pejabat entity itu untuk satu lawatan kerja (pada 20 Mei lalu).
Ini merupakan satu sejarah bagi KPPPTNB kerana buat julung kalinya seorang Menteri Sumber Manusia turun untuk bertemu sendiri dengan pegawai-pegawai utama KPPPTNB.
Bagi kami di KPPPTNB, kunjungan ini merupakan satu penghormatan serta pemangkin untuk kerjasama yang lebih erat di antara kesatuan dengan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).
Usaha beliau untuk turun sendiri bertemu dengan KPPPTNB menunjukkan iltizam Menteri Sumber Manusia bagi menjalinkan hubungan baik dengan pihak-pihak berkepentingan di dalam mendukung usaha-usaha kesatuan sekerja.
Maka tidak hairan apabila sebelum ini Menteri Sumber Manusia turut menerima sokongan penuh daripada kesatuan pusat buruh seperti MTUC, UNI-MLC dan CUEPACS.
Dalam pertemuan ini juga, Menteri Sumber Manusia telah menghuraikan prinsip 3K yang menjadi penunjuk arah kepada semua usaha Kesuma iaitu kebajikan pekerja, kemahiran pekerja dan keberhasilan pekerja.
KPPPTNB menyambut baik prinsip ini kerana kebajikan pekerja sememangnya menjadi perjuangan KPPPTNB selama ini, dan Menteri Sumber Manusia telah meluaskan sudut pandangan KPPPTNB tentang kebajikan melalui kaitannya dengan kemahiran dan keberhasilan.
KPPPTNB menyokong penuh idealisme dan hala tuju Kesuma serta bersedia berkerjasama dengan lebih erat bagi menjadikan perjuangan kebajikan, kemahiran dan keberhasilan satu kenyataan.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berbual dengan pegawai-pegawai utama Kesatuan Percantuman Pekerja-pekerja Tenaga Nasional Berhad (KPPPTNB).
Nota: Jasrul Hisham Jamaludin ialah Presiden Kesatuan Percantuman Pekerja-Pekerja Tenaga Nasonal Berhad