Kes warganegara: Kerajaan tak wajar rayu keputusan Mahkamah Rayuan, kata Presiden UPKO

Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima WIlfred Madius Tangau berharap kerajaan tidak akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan Wong Kueng Hui, 27, sebagai rakyat Malaysia.

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berharap kerajaan tidak akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan minggu lalu yang memutuskan seorang pekerja rencam, Wong Kueng Hui, 27, yang lahir di Sabah, sebagai rakyat Malaysia.

Dalam keputusan itu, mahkamah memutuskan bahawa Kueng Hui yang mempunyai bapa warganegara Malaysia dan ibunya dipercayai warganegara Indonesia adalah rakyat negara ini.

Sambil menekankan bahawa UPKO menyambut baik keputusan itu, Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, Mahkamah Rayuan juga telah mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan pada 21 Oktober 2019.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, UPKO juga mendapati keputusan Mahkamah Rayuan itu akan membuka ruang kepada banyak lagi kes yang memerlukan perhatian yang adil dan berjiwa besar di pihak Kerajaan untuk diselesaikan.

“Keputusan kedua-dua peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi sudah cukup memadai untuk memberikan Wong Kueng Hui dan mereka yang berada dalam dilema yang sama kewarganegaraan Malaysia,” kata beliau.

Tambah beliau, UPKO berharap Kerajaan akan menggunakan keputusan ini sebagai satu kes rujukan yang amat penting untuk menyelesaikan kes-kes yang serupa yang memerlukan tindakan penyelesaian jangka panjang.

Malah kata beliau, penyelesaian menyeluruh berhubung kes-kes seperti ini amat penting bagi menjaga keharmonian hidup individu-individu yang terlibat dalam kes-kes seperti ini.

“Kita tidak boleh menyerahkan kepada keputusan mahkamah semata-mata, sebaliknya kerajaan pusat dan kerajaan negeri, terutama kerajaan negeri Sabah dalam kes ini, perlu mengambil tindakan proaktif menyelesaikan kes-kes seperti ini,” kata beliau.

Jelas beliau, sekiranya perlu, undang-undang semasa perlu disemak dan dipinda bagi mengelakkan beban tidak wajar di pihak individu-individu seperti Wong Kueng Hui selepas ini.

Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali berkata, Wong Kueng Hui telah mengambil langkah yang munasabah untuk menentukan taraf kewarganegaraan ibunya dengan menyemak dengan Kedutaan Indonesia, namun pencarian itu tidak berhasil.

“Oleh kerana tiada bukti yang bertentangan, Mahkamah Tinggi tidak tersilap dalam fakta dan undang-undang bahawa Wong adalah seorang yang tidak mempunyai kerakyatan,” kata Ruzima, yang menolak rayuan kerajaan. Hakim M Gunalan bersetuju bersama Ruzima manakala Azizah Nawawi tidak bersetuju.

Ruzima berkata, tidak ada keraguan bahawa Kueng Hui dilahirkan di Hospital Keningau di Sabah pada 2 Jan 1995 selepas ibu bapanya bersekedudukan.

“Perkahwinan mereka tidak didaftar. Sebagai anak tidak sah taraf, kerakyatannya harus mengikut ibu,” katanya.

Ruzima berkata, Mahkamah Tinggi mendapat tahu bahawa Kueng Hui telah mengambil pelbagai langkah untuk menentukan kerakyatan ibunya.

“Memandangkan kerakyatan ibu tidak diketahui, ini menjadikannya seorang yang tidak mempunyai kerakyatan,” katanya.

Mahkamah Tinggi pada 21 Okt 2019 mengisytiharkan bahawa Wong adalah rakyat Malaysia berdasarkan Jadual Kedua, Bahagian II di bawah Seksyen 1(e) Perlembagaan Persekutuan – iaitu peruntukan yang menyebut bahawa mereka yang lahir di Malaysia dan bukan warganegara mana-mana negara lain berhak mendapat kerakyatan Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang.

Hakim Nordin Hassan turut memerintahkan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan sijil kewarganegaraan atau kad pengenalan kepada Kueng Hui.