KUALA LUMPUR: Dalam usaha melindungi kepentingan penjana kandungan, kerajaan bercadang untuk membangunkan satu sistem asas yang akan membolehkan pemiliknya membuat aduan sekiranya bahan mereka digunakan tanpa kebenaran.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, langkah itu perlu kerana bahan berita yang diambil dan dimuat naik tanpa kebenaran akan mengakibatkan masalah disalah tafsir atau diubah suai seolah-olah ia dilaporkan oleh media asal.
“Saya melihat kita perlu ada satu sistem asas dengan pemilik asal kepada berita itu boleh membuat aduan, sebagai contoh, kepada MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) supaya boleh diambil tindakan.
“Jadi di sini (sistem ini) belum lagi kita wujudkan, tetapi insya-Allah boleh dibangunkan satu sistem yg mudah supaya kandungan hak cipta itu dapat kita jamin untuk mereka yang telah menghasilkannya,” kata beliau dipetik Bernama hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Maxis 5G-Advanced Trial Showcase di sini.
Sementara itu dalam tulisan di Facebook, beliau berkata, Maxis 5G-Advanced Showcase mempamerkan kolaborasi antara Maxis dan Huawei dalam percubaan teknologi 5.5G pertama di Malaysia serta Asia Tenggara.
“Hasil dapatan MCMC, kadar penggunaan 5G telah mencapai 29.9 peratus atau hampir 10.07 juta pelanggan setakat 31 Januari 2024. Percubaan teknologi Maxis 5G-Advanced akan menjadi sebahagian daripada Pavilion Malaysia di Mobile World Congress 2024 (MWC 2024) yang bakal diadakan di Barcelona, Sepanyol,” kata beliau.