KUALA LUMPUR: Keputusan tidak rasmi pemilihan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menunjukkan Timbalan Presiidenya, Mohd Effendy Abdul Ghani memenangi persaingan jawatan Presiden manakala Kamarul Baharin Mansor kekal sebagai Setiausaha Agung.
Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan (TDC) MTUC kali ini yang dibayangi pertikaian pelanggaran perlembagaan kongres dan tindakan mahkamah akan mengumumkan keputusan rasmi petang ini. Mantan Presidennya, Datuk Abdul Halim Mansor pada Jumaat lalu memberitahu bahawa pihaknya akan membawa pertikaian mengadakan TDC secara tidak sah ke mahkamah selepas ini.
Pengundian diadakan petang semalam.
Pasukan Mohd Effendy dan Kamarul dikatakan menguasai kesemua jawatan utama yang dipertandingkan.
Jawatan Timbalan Presiden dimenangi oleh Matkar Siwang manakala Khairi Man mengisi jawatan Timbalan Setiausaha Agung.
Setiausaha Kewangan disandang oleh Wang Heng Suan dan timbalannya yang baharu ialah Ng Choo Seong.
Sekitar 400 orang perwakilan mengundi dalam pemilihan kali ini.