Kepelbagaian kesatuan sekerja: MTUC buat pendirian tolak RUU Kesatuan Sekerja

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia mengambil pendirian menolak Rang Undang-undang (RUU) Kesatuan Sekerja 1959 (Pindaan) 2022.

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mengadakan mesyuarat Majlis Am hari ini mengambil pendirian untuk menolak Rang Undang-undang (RUU) Kesatuan Sekerja 1959 (Pindaan) 2022, yang jika diluluskan bakal memperkenalkan kepelbagaian kesatuan sekerja di tempat kerja.

Sumber memberitahu Workers Times, MTUC sebulat suara mengambil pendirian itu susulan perbincangan khas yang diadakan pada mesyuarat Majlis Am.

“Kami memutuskan untuk menolak peruntukan berkaitan dengan kepelbagaian kesatuan sekerja, yang hendak diperkenalkan menerusi RUU Kesatuan Sekerja.

“MTUC akan menghantar surat kepada Kementerian Sumber Manusia, kami berhasrat untuk bertemu dengan Menteri Sumber Manusia bagi menyatakan pendirian kami. Pendirian yang sama akan dibangkitkan dalam mesyuarat NLAC (Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan) bulan depan,” kata pemimpin MTUC ketika dihubungi.

NLAC tidak bermesyuarat sejak lebih dua tahun lalu.

MTUC dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara tersebut, esok.

Difahamkan isu yang sama akan dibangkitkan dalam Persidangan Tiga Tahunan Sekali MTUC yang berlangsung awal bulan depan.

Kepelbagaian kesatuan sekerja bermakna lebih daripada sebuah kesatuan sekerja boleh ditubuhkan di tempat kerja, tred dan sektor yang sama.

Pemimpin MTUC itu menambah, pihaknya akan meminta Kementerian Sumber Manusia menangguhkan bacaan kali kedua RUU tersebut, dan mengadakan perbincangan dengan kesatuan sekerja.

Workers Times jugadifahamkan Gabungan Menentang Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU), diketuai oleh Rudy Rusly telah membentangkan pendirian mereka dalam mesyauarat Majlis Am MTUC hari ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan CAMU semalam, Rudy yang juga Timbalan Setiausaha Agung MTUC berkata, sebanyak 35 dan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) memutuskan untuk menolak pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959, yang telah dibacakan kali pertama Mac lalu.

Dengan itu, setakat ini lebih 130 kesatuan sekerja individu telah mengambil pendirian itu. UNI-MLC mempunyai lebih 100 gabungan.

Sebahagian besar anggota CAMU juga menganggotai MTUC dan UNI-MLC.

“Pendirian 35 kesatuan sekerja dan UNI-MLC, yang telah menyatakan ikrar, adalah mana-mana peruntukan dalam RUU ini yang membawa kepada kepelbagaian akan ditolak,” kata Rudy.

Kata beliau, CAMU ditubuhkan untuk tujuan tunggal menolak peruntukan berkaiatan kepelbagaian kesatuan sekerja yang bakal diperkenalkan oleh RUU Kesatuan Sekerja 1959 (Pindaan) 2022 yang dijangka dibacakan kali kedua pada sidang Parlimen Julai-Ogos ini.

Beliau menambah, pihaknya telah diberi mandat untuk meminta penangguhan bacaan kali kedua RUU ini, yang dijadualkan semasa persidangan Parlimen akan datang, bermula 18 Julai 2022, ditangguhkan.

Dalam kenyataan dua minggu lalu, CAMU menggesa agar kerajaan menangguhkan bacaan kali kedua RUU Kesatuan Sekerja 1959 dan mengadakan dialog dengan kesatuan sekerja.

RUU untuk meminda Akta Kesatuan Sekerja 1959 telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 24 Mac 2022.

Selain CAMU, Gabungan Pembaharuan Undang-undang Buruh (LLRC) menggesa Kementerian Sumber Manusia mengadakan dialog dengan segera bersama “komuniti kesatuan sekerja” sebelum bacaan kali kedua RUU Kesatuan Sekerja 1959 (Pindaan) 2022 untuk membina semula kepercayaan antara kesatuan sekerja dan kerajaan.

Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) pyla menegaskan kerajaan mesti mengamalkan pendekatan seimbang dalam membincangkan cadangan digariskan dalam RUU itu demi memelihara keharmonian industri sedia ada.

RUU itu yang antara lain masuk memasukkan peruntukan berkaitan kepelbagaian kesatuan sekerja atau multiplicity of union telah dibaca kali pertama di Dewan Rakyat pada Mac lalu dan dijangka dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada sidang bulan Julai-Ogos ini.