KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan dipercepatkan dalam beberapa bulan lagi dan akan dipersembahkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh tiga bulan.
Beliau berkata sudah tiba masanya proses tersebut dipercepatkan bagi memberi manfaat kepada penjawat awam seluruh negara.
“Ada keluhan tentang (tempoh) kajian SSPA ini kerana sudah 12 tahun dan kadar upah penjawat awam tidak dikaji dan ditingkatkan. Tahun lalu saya bagi jaminan dan tahun ini sudah sampai tahap yang mana saya percepatkan proses itu,” kata beliau di Melaka baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertemuan Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Dipetik Bernama, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata: “Selepas itu kita boleh umumkan. Jadi ia (keputusan) pada suku ketiga atau selewat-lewatnya (suku) keempat tahun ini,” katanya.
laporan media sebelum ini melaporkan laporan akhir kajian SSPA dijangka siap dalam tempoh dua bulan lagi.
Anwar dilaporkan sebagai berkata perkara itu diputuskan berdasarkan persetujuan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Awal bulan lalu, Anwar berkata, kerajaan akan menyegerakan pelaksanaan SSPA bagi manfaat penjawat awam selepas ia tertangguh sebelum ini ekoran kedudukan kewangan negara yang dibebani hutang terdahulu.
Kata Anwar, inisiatif itu tidak dapat dilaksanakan tahun lalu ekoran Kerajaan Perpaduan mewarisi kedudukan kewangan terdahulu yang tinggi iaitu sebanyak RM1.5 trilion dengan defisit sekitar 5.6 peratus.
“Alhamdulillah, dengan pimpinan kerajaan dan semua yang terlibat, kita dapat kurangkan (defisit) kepada lima peratus.
“Maknanya, kalau kita ada fokus jelas dan komitmen untuk laksana dengan baik, saya percaya ia boleh dilakukan seperti pelancaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU),” katanya.
Anwar mahu kajian SSPA dilaksanakan ketika ini dapat memberi maklum balas positif membabitkan kenaikan gaji yang drastik.
Beliau berkata, penyelarasan gaji penjawat awam itu perlu dibuat selari maksud slogan anjakan paradigma yang sering dilaungkan.
Pada pembentangan Belanjawan 2024 lalu, kerajaan mengumumkan pemberian Bayaran Insentif Awal SSPA sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta bayaran insentif RM1,000 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen.
Ketika pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu, bayaran insentif terbabit akan dibuat secara sekali gus pada akhir Februari depan.
Pada 21 Januari lalu, CUEPACS minta kerajaan segera naikkan gaji penjawat awam tanpa perlu menunggu pelaksanaan SSPA.
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, ini kerana kedudukan gaji penjawat awam pada masa ini dilihat tidak mampu menampung beban perbelanjaan, susulan peningkatan kos sara hidup yang semakin ketara.
Kata beliau, walaupun kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyatakan SSPA mungkin siap penghujung tahun ini, CUEPACS mahu kenaikan gaji penjawat awam dibuat lebih awal tanpa perlu menunggu sistem itu siap.
“Apa yang kami cadangkan ialah kenaikan RM300 dan ia akan diselaraskan semula apabila SSPA siap kelak. Jika kerajaan tidak mampu, CUEPACS akan tetap meneruskan tuntutan.
Mungkin bukan dalam bentuk gaji sebaliknya dalam bentuk elaun khas sistem saraan dan elaun ini akan ditutup apabila sistem siap dan pelarasan gaji diumumkan oleh kerajaan,” kata beliau.