KUALA LUMPUR: Hampir 40 peratus majikan Malaysia tidak ada rancangan untuk menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam proses pengambilan pekerja.
Hays Malaysia, firma solusi penyelesaian tenaga kerja dan penyedia perkhidmatan pengambilan berkata, meskipun trend penggunaan teknologi AI seperti ChatGPT dan Bing semakin meningkat dalam kalangan mereka yang mencari kerja, dengan 51.7 peratus daripada mereka memanfaatkan teknologi itu untuk permohonan pekerjaan, hampir 40 peratus majikan tidak bercadang untuk menggunakannya pada tahun-tahun mendatang.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Hays Malaysia berkata, kajian mereka melibatkan seramai 2,014 profesional mahir dan 832 majikan di Malaysia.
Kajian itu mendapati bahawa peranan AI dalam pengambilan masih di peringkat awal.
Menyedari kepentingan menerima teknologi dan amalan mampan, pemaju hartanah terkemuka UDA Holdings Bhd komited untuk mengukuhkan pendigitalan dan kemampanan dalam amalan dan projek perniagaannya.
Kata Hays Malaysia, hanya 17 peratus daripada majikan pada masa sekarang menggunakan AI dalam kapasiti minimum sepanjang proses pengambilan pekerja mereka, manakala 29.8 peratus sedang mempertimbangkan untuk meneroka kemungkinannya dalam waktu terdekat.
Kata firma itu, majikan yang telah menerima pakai AI untuk tujuan pemeriksaan resume dan penyenaraian pendek adalah sebanyak 54.3 peratus, penilaian dan kedudukan calon (33.7 peratus) dan analisis ramalan untuk menentukan kesesuaian calon (31.4 peratus).
Walaupun terdapat potensi manfaat, terdapat keengganan yang ketara dalam kalangan majikan untuk menerima sepenuhnya AI, disebabkan oleh cabaran seperti ketiadaan rangka kerja kawal selia yang standard, kekangan belanjawan dan kebimbangan mengenai kehilangan sentuhan peribadi dalam proses pengambilan pekerja, kata firma itu.
Selain itu, kata Hays Malaysia, tinjauan pihaknya menyerlahkan kebimbangan terhadap potensi bias alat pengambilan yang digerakkan oleh AI.
Ia menambah, walaupun 83 peratus pekerja sumber manusia menyokong idea menggunakan AI untuk membantu kerja mereka, hanya 44 peratus percaya organisasi mereka telah menggunakan AI secukupnya untuk kekal berdaya saing pada masa hadapan.
Dalam kenyataan itu, Pengarah Urusan Hays Asia, Marc Burrage menekankan bahawa organisasi mempunyai peranan aktif untuk bermain dalam persediaan bagi peningkatan pelaksanaan AI dalam pengambilan pekerja.
“Ini melibatkan pemantauan rapi kecenderungan yang wujud dengan vendor mereka dan mempertimbangkan pertimbangan etika ditangani di peringkat ASEAN.
“Syarikat boleh memanfaatkan kerjasama antarabangsa strategik sedemikian untuk bersama-sama dan terus membangunkan rangka kerja yang diperlukan untuk diterima pakai di peringkat tempatan.
“Ini amat penting dalam memupuk kepercayaan dalam pengambilan inklusif, terutamanya dengan mengambil kira jangkaan kedua-dua kakitangan dan calon untuk menggunakan AI dalam proses pengambilan atau pencarian pekerjaan,” kata beliau.