KUALA LUMPUR: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) hari ini menggesa kerajaan memaklumkan pendiriannya ekoran keputusan Mahkamah Rayuan Khamis lalu yang memutuskan kenaikan tahunan dua peratus ke atas pencen adalah tidak sah dan mengembalikan semula peruntukan pencen terdahulu yang diselaraskan seiring dengan sebarang semakan gaji.
Sambil menyifatkan perkembangan itu sebagai sesuatu yang “mengejutkan dan luar biasa dalam landskap buruh dan pekerajaan di negara ini”, Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, kerajaan perlu menyatakan pendirian rasmi ekoran keputusan mahkamah itu.
Kata beliau, sebagai sebuah badan kesatuan sekerja yang terus memperjuangkan kadar pencen yang dinamik, adil dan relevan mengikut keadaan semasa, UNI-MLC berharap Kerajaan dengan segera akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi ekoran keputusan Mahkamah Rayuan.
Shafie berkata, ini kerana kerajaan telah membayar kenaikan tahunan dua peratus sejak peruntukan baharu itu dikuatkuasakan pada tahun 2013.
“Oleh itu, adakah Kerajaan akan mengkaji semula kadar dua peratus itu dan akan datang dengan satu kadar yang baharu? Adakah Kerajaan akan menghentikan serta-merta kenaikan dua peratus yang sedang dikuatkuasakan? Jika ia dihentikan serta-merta apakah impak ke atas para pesara?” kata beliau dalam kenyataan media dikeluarkan hari ini.
Untuk rekod, Panel Mahkamah Rayuan, terdiri daripada Vazeer Alam, Abu Bakar Jais dan Darryl Goon JJCA, menyampaikan keputusan sebulat suara pada 13 Januari 2022, antara lain ia memutuskan bahawa:
[i] Perisytiharan bahawa Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 adalah tidak sah kerana melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.
[ii] Satu pengisytiharan bahawa Seksyen 3 dan 6 Akta Pelarasan Pencen 1980 sebagaimana yang dipinda oleh seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 dan berkuat kuasa sejak 1.1.2013 adalah tidak sah kerana melanggar Perkara 147 Persekutuan Perlembagaan.
[iii] Perintah pengisytiharan di atas berkuat kuasa secara prospektif mulai 13 Januari 2022.
Shafie berkata, UNI-MLC mendapati majoriti pesara turut terkejut dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu dan berada dalam keadaan dilema sama ada kadar pencen mereka akan terjejas dan kemungkinan akan ditarik balik.
“Oleh itu, UNI-MLC juga ingin mengetahui sama ada Kerajaan akan membuat rayuan berhubung 13 Januari 2022?” kata beliau.
Tambah beliau, sementara banyak isu timbul dan dibangkitkan ekoran keputusan Mahkamah Rayuan, maka adalah wajar Kerajaan mengeluarkan satu pandangan bagi menjelaskan isu ini.
Di kesempatan ini, katanya, UNI-MLC menasihatkan kesatuan gabungan UNI-MLC dan ahli-ahli mereka agar bersabar, dan memberi jaminan akan terus memperjuangkan kadar pencen yang lebih baik.