KUALA LUMPUR: Kadar baharu gaji minimum RM1,700 yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Februari depan adalah seragam di seluruh negara tanpa mengira wilayah, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
“Selaras dengan misi menaikkan lantai di dalam Ekonomi MADANI, pengumuman ini juga adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Sumber Manusia dalam rangka menambah baik pendapatan golongan pekerja secara menyeluruh,” kata beliau menerusi kenyataan media.
Beliau berkata, kementeriannya sebulat suara bersetuju dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam, untuk meningkatkan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700.
Selain pelaksanaan gaji minimum, strategi kerajaan untuk meningkatkan pendapatan pekerja termasuk melaksanakan Dasar Gaji Progresif (DGP) sebagai langkah baharu untuk mereformasi pasaran buruh dengan tujuan meningkatkan gaji pekerja seiring dengan peningkatan produktiviti dan pengalaman,” kata beliau.
Beliau turut menekankan gaji minimum tidak harus dijadikan gaji permulaan khususnya untuk para graduan dan pekerja yang berkemahiran.
Julung kalinya juga, Kementerian Sumber Manusia akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan berdasarkan Malaysia Standard Classification of Occupations (Masco).
Ia bagi rujukan pekerja dan majikan dalam menentukan kadar gaji permulaan yang sesuai bagi sesuatu pekerjaan.