Kabinet: PM umum lantikan 31 menteri 38 timbalan menteri, tanpa TPM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pembentukan Kabinet beliau yang menyaksikan pelantikan seramai 31 menteri termasuk empat menteri kanan dan 38 timbalan menteri, dengan kebanyakan anggota lama dalam kerajaan sebelum ini dikekalkan.

Antara yang dikekalkan termasuklah Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin.

Selain beliau, Menteri Kanan yang turut dilantik semula terdiri daripada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memegang portfolio Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Datuk Seri Fadillah Yusof yang meerajui Kementerian Kerja Raya.

Datuk Seri Ismail Sabri tidak mengumumkan pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Pengumuman pelantikan anggota Kabinet diumumkan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam.

Barisan anggota Kabinet akan mengangkat sumpah pada Isnin ini.

Menurut Perdana Menteri, barisan Kabinet yang dibentuk hari ini merupakan pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat.

“Kabinet ini perlu bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik COVID-19, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik,” kata beliau ketika mengumumkan pembentukan Kabinet yang disiarkan secara langsung dari pejabatnya di Putrajaya pagi ini.

Tambah Datuk Seri Ismail Sabri, mengambil kira hakikat bahawa beliau menerima kerajaan ini dalam keadaan seadanya, maka pembentukan Kabinet ini merupakan satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa, demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan Keluarga Malaysia lebih daripada segala-galanya.

Katanya, beliau akan memastikan barisan Kabinet komited menjayakan agenda negara, melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

“Barisan Kabinet ini dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan, dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur,” katanya,

Sehubungan dengan itu, kata beliau, bagi mendepani cabaran semasa, Kabinet ini perlu berorientasikan hasil yang berlandaskan kepada tiga prinsip
iaitu peka dengan keperluan semasa, bertanggungjawab dan amanah, dan mengembalikan semula keyakinan rakyat.

Tegas Perdana Menteri, beliau akan memastikan Kabinetnya akan menekankan budaya kerja berprestasi tinggi.

“Justeru, setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan. Untuk itu, setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama,” kata beliau lagi.