JPA: Lebihan GCR kakitangan awam boleh diguna sebagai cuti rehat ketika persaraan

Penjawat awam yang telah mengumpul gantian cuti rehat (GCR) melebihi 160 hari boleh menggunakan lebihan itu sebagai cuti rehat ketika tahun persaraan mereka. – Foto ihsan BERNAMA

KUALA LUMPUR: Penjawat awam yang telah mengumpul gantian cuti rehat (GCR) melebihi 160 hari boleh menggunakan lebihan itu sebagai cuti rehat ketika tahun persaraan mereka.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata, kerana jumlah maksimum pengumpulan GCR yang boleh dibayar ganjaran wang tunai sepanjang tempoh perkhidmatan hanya 160 hari.

Oleh itu kata JPA, sekiranya pegawai telah mengumpul GCR melebihi 160 hari, lebihan hari yang terkumpul berkenaan boleh digunakan oleh pegawai sebagai cuti rehat pada tahun persaraan.

“Pemberian awal ganjaran wang tunai GCR sebanyak 80 hari hanya boleh dibuat sekali sahaja sepanjang perkhidmatan pegawai manakala baki 80 hari GCR terkumpul akan dibayar pada tahun persaraan wajib,” kata jabatan itu.

Kerajaan melalui Belanjawan 2022 bersetuju menaikkan jumlah hari maksimum GCR daripada 150 hari kepada 160 hari dan membenarkan pemberian awal ganjaran wang tunai GCR sebanyak 80 hari mulai Januari 2022.

Menurut kenyataan itu, surat Edaran boleh dimuat turun melalui portal JPA di https://tinyurl.com/59en9n7v. Maklumat perhubungan berkaitan GCR boleh diajukan ke talian 03-8885 4686/4428/4431/4670/4427/4729 atau e-mel: pertanyaan.gcr@jpa.gov.my.

JPA menjelaskan, penjawat awam yang telah memilih Skim Pencen mahupun Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berhasrat memohon pemberian awal ganjaran wang tunai GCR perlu memenuhi syarat-syarat seperti tempoh perkhidmatan pegawai yang boleh dimasuk kira hendaklah tidak kurang daripada 15 tahun.

Pegawai berkenaan juga perlu mencapai umur 45 tahun dan jumlah GCR terkumpul sebelum permohonan pemberian awal ganjaran wang tunai GCR hendaklah sekurang-kurangnya 80 hari.

Malah menurut kenyataan itu, para pemohon perlu bebas daripada sebarang prosiding jenayah atau tindakan tatatertib dan mendapat perakuan daripada ketua jabatan.

JPA juga berkata, ketua jabatan hendaklah menggunakan aplikasi Sistem Pengiraan GCR yang boleh dimuat turun di portal www.jpapencen.gov.my untuk tujuan pengiraan GCR yang tepat bagi pemberian awal ganjaran wang tunai GCR.

Selain itu,ketua jabatan perlu memastikan pengumpulan GCR yang dibuat sepanjang tahun perkhidmatan pegawai adalah betul dan teratur sebagaimana kehendak peraturan yang berkuat kuasa.

“Semua dokumen permohonan pemberian awal ganjaran wang tunai GCR yang telah diperakukan hendaklah dikemukakan melalui Ketua Jabatan kepada Bahagian Pasca Perkhidmatan JPA.